Ahad, 7 April 2019 | 8:48pm
PELUMBA Pasukan ONEXOX TKKR SAG, Ramdan Rosli. - Foto ONEXOX TKKR SAG
PELUMBA Pasukan ONEXOX TKKR SAG, Ramdan Rosli. - Foto ONEXOX TKKR SAG

Pelumba ONEXOX TKKR SAG raih podium Moto2 Eropah

KUALA LUMPUR: Pasukan ONEXOX TKKR SAG meraih podium pertama di Kejuaraan Moto2 Eropah menerusi pelumbanya Ramdan Rosli dalam saingan di Litar Estoril, Portugal, sebentar tadi.

Ramdan yang bermula dari petak ke-12 menamatkan Perlumbaan 1 yang berlangsung dalam keadaan litar basah dengan catatan 35 minit 37.422 saat untuk berada di podium penamat ketiga.

Pelumba Finland, Niki Tuuli muncul pemenang, melengkapkan 18 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan terpantas, 35:19.449s manakala Edgar Pons Ramon (Sepanyol) berada di tempat kedua, 35:24.904s.

Sementara itu, pelumba SIC Junior, Adam Norrodin yang bermula dari petak ke-11 menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan 36:17.434s.

Kasma Daniel Kasmayudin (Dynavolt Intact SIC Junior) yang menyambar petak ketiga pada sesi kelayakan, tidak menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ketujuh.

Rakan sepasukan Ramdan, Azlan Shah Kamaruzaman tidak beraksi untuk dua perlumbaan hari ini selepas mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk pada sesi kelayakan semalam.

Perlumbaan 2 dijadual berlangsung pada jam 10 malam ini.

Berita Harian X