Sabtu, 6 April 2019 | 11:41pm
PELUMBA pasukan Dynavolt Intact SIC Junior, Kasma Daniel Kasmayudin.
PELUMBA pasukan Dynavolt Intact SIC Junior, Kasma Daniel Kasmayudin.

Dragon Boy bolot petak ketiga Moto2 Eropah

SEPANG: Kasma Daniel Kasmayudin menepati sasaran apabila menempah petak ketiga pada sesi kelayakan Kejuaraan Moto2 Eropah di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Pelumba pasukan Dynavolt Intact SIC Junior itu memperbaiki catatan masa sepusingannya pada sesi kelayakan kedua dengan merekodkan 1 minit 55.754 saat berbanding 1:58.229s pada sesi sebelumnya.

Dengan keputusan berkenaan, Kasma atau dikenali sebagai 'Dragon Boy' dijadual bermula dari barisan depan untuk perlumbaan esok bersama pelumba Finland, Niki Rikhard Tuuli (1:55.734s) dan Edgar Pons Ramon (1:54.440s).

Kasma, 19, sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok kelima terbaik pada sesi kelayakan dalam usahanya memburu penamat di podium.

"Tak sangka dapat berada dalam kelompok lima untuk sesi kelayakan... saya sudah mencapai sasaran yang diinginkan.

"Saya harap dapat mengekalkan rentak untuk perlumbaan dan cuba dapatkan detik manis berada di podium," katanya.

Sementara itu, rakan senegaranya yang turut berada di bawah Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Adam Norrodin bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-11.

Bekas pelumba Moto3 negara itu berpuashati dengan kedudukan berkenaan selepas menghadapi beberapa kesukaran pada sesi latihan.

Adam yang membawa nama SIC Junior Team baru pulih daripada pembedahan bahu dan lutut, terjatuh pada pertengahan sesi kelayakan pertama namun bangkit mengatasi catatan pada sesi seterusnya.

"Ini kesilapan daripada saya sebab kali pertama di Moto2 dan juga kali pertama menunggang jentera Moto2 di Estoril.

"Banyak yang perlu dipelajari dan biar saya buat kesilapan sekarang daripada melakukan kesilapan di pertengahan kejuaraan.

"Saya dapat melakukan yang lebih baik pada sesi kelayakan kedua. Walaupun ke-11 tetapi dengan apa yang dilalui pada sesi latihan semalam, bagi saya ke-11 ini sudah berbaloi.

"Saya berpuashati dan akan memberi sepenuh tumpuan untuk perlumbaan esok," katanya.

Dalam pada itu, dua lagi wakil negara yang bersama pasukan ONEXOX TKKR SAG - Ramdan Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman - masing-masing bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-12 dan 21.

Berita Harian X