Ahad, 24 March 2019 | 12:27am
ADAM Norrodin tidak akan menyertai Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Australia pada penghujung April ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
ADAM Norrodin tidak akan menyertai Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Australia pada penghujung April ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

CEV jadi keutamaan Adam

KUALA LUMPUR: Adam Norrodin tidak akan menyertai Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Australia pada penghujung April ini selepas tarikh berkenaan bertindih dengan satu lagi perlumbaan disertainya bagi musim ini iaitu Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV). 

Bekas pelumba Moto3 negara itu mempunyai misi untuk kembali ke kancah Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 pada masa akan datang selepas namanya tidak disenaraikan dalam pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Ogos tahun lalu. 

Dua minggu lalu Adam yang masih dalam proses pulih daripada pembedahan bahu dan lutut, menamatkan pusingan pertama ARRC di Sirkit Antarabangsa Sepang di tangga ketiga keseluruhan - meraih kedudukan ketiga pada Perlumbaan 1 dan keempat di Perlumbaan 2. 

Keputusan itu tentunya positif untuk dibawa ke Litar Bend Motorsports Park di Australia, hujung April nanti namun pihak pengurusan pasukan SIC Racing mahu Adam membiasakan diri dengan persaingan di Eropah dan menyertai Pusingan 2 CEV di Sirkit Ricardo Tormo pada tarikh berkenaan. 

"Sudah pasti," kata pengurus pasukan SIC Junior ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang juga bekas pelumba negara ketika diajukan soalan sekiranya ketiadaan Adam di Australia sebagai satu kerugian buat pasukan. 

"Namun perkara ini sudah kami bincangkan sejak awal tahun lagi. Sekiranya ada pertindihan jadual antara ARRC dan CEV, keutamaannya adalah CEV.

"Jadi sudah tentu program CEV adalah keutamaan kami dan ARRC pula sebagai tempat latihan kerana sasaran kami adalah untuk membawa Adam ke MotoGP (Kejuaraan Motosikal Dunia) kembali dan saya harap impian itu menjadi kenyataan," kata Zulfahmi.

Adam atau dikenali sebagai 'Torete', menggalas cabaran di saingan Eropah untuk pasukan SIC Junior Team itu bakal memulakan cabaran pertamanya dalam kelas Moto2 di Sirkit Estoril pada 7 April ini.

Berita Harian X