Isnin, 11 March 2019 | 10:11am
GAMBAR fail, pemandu baharu Ferrari, Charles Leclerc menandatangani buku autograf sejurus tamat sesi latihan di Litar de Catalunya, Montemelo, Barcelona pada 20 Februari lalu. - Foto AFP

Ujian pertama Leclerc bersama Ferrari

PARIS: Pemandu baharu Ferrari, Charles Leclerc hanya berusia 21 tahun dan dia pemandu kedua termuda dalam sejarah perlumbaan paling popular, Formula Satu (F1).

Namun dia sudah mencipta gelombang dalam musim Grand Prix keduanya dengan kematangan yang dipamerkan selaku pemandu muka baharu buat Sauber tahun lalu.

Dia menamatkan saingan di tangga ke-13 keseluruhan dalam kejuaraan pemandu dengan satu kedudukan enam terbaik.

Dilahirkan di litar ikon Grand Prix, Monte Carlo, Leclerc dilihat dari usia muda selaku prospek hebat seorang pelumba.

bapanya Herve ialah pamandu Formula 3 dan Leclerc berlumba buat kali pertama pada usia hanya empat tahun di litar kepunyaan rakan baik bapanya, Philippe Bianchi. 

Jangkaan amat tinggi musim ini bahawa Ferrari dan rakan sepasukan Leclerc, Sebastian Vettel boleh memecahkan kubu kebal juara dunia, Lewis Hamilton dan memenangi gelaran dunia buat gergasi Itali itu buat pertama kali sejak 2007.

Warga Monaco itu ialah produk akademi perlumbaan Ferrari dan dia selesa dengan cara orang Itali melakukan tugasan menjelang perlumbaan pembuka tirai hujung minggu ini di Australia.

“Saya serasi dengan pasukan Itali,” katanya. “Ia menjadikannya lebih mudah apabila kami berjumpa, contohnya mekanik di Ferrari.

“Apa yang saya sentiasa suka dengan orang Itali ialah mereka serius apabila perlu dan tahu bagaimana untuk berehat dan sesekali ketawa.

“Itu amat penting untuk keseimbangan hidup buat pemandu, untuk mendapat persefahaman dengan pasukan.” - AFP

Berita Harian X