Sabtu, 9 March 2019 | 3:24pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli. - Foto AFP
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli. - Foto AFP

'Salah saya terjatuh'

SEPANG: Franco Morbidelli ‘terselamat’ selepas terjatuh di Grand Prix (GP) Qatar pada sesi latihan bebas yang disifatkannya bagi memahami aspek baharu dalam percubaan pelarasan jentera YZR-M1, awal pagi tadi.

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing itu terjatuh pada selekoh pertama sesi ujian masa kedua namun bangkit untuk mencatat masa keseluruhan ketujuh terpantas bagi kedua-dua sesi hari pertama saingan di Sirkit Antarabangsa Losail itu.

"Mengenai insiden itu, saya sebenarnya sedang cuba memahami satu aspek baharu pelarasan yang kami sedang usahakan dan ia berlaku pada pusingan pertama sesi kedua.

"Jadi, saya fikir hanya terlalu berusaha di selekoh satu dengan menggunakan tayar terpakai sebelum berakhir dengan terjatuh.

"Mungkin tayar tidak begitu bersedia untuk saya memecut lebih laju, jadi pada asasnya ia adalah salah sendiri.

"Selepas terjatuh, kami mampu menemui kesesuaian dengan begitu mudah dan saya mampu memecut laju dengan pelarasan baharu yang digunakan pada motosikal kedua.

"Malangnya saya tidak mampu melakukan banyak pusingan dan kami mungkin perlu melakukan sesuatu yang lebih lagi dengan tayar terpakai ini dan itu adalah perancangannya. Di sebalik itu, kami mampu melakukan beberapa pusingan jadi kami meraih beberapa maklumat berguna," kata Morbidelli.

Sementara itu, rakan sepasukan Morbidelli yang juga muka baharu (rookie) dalam kelas MotoGP, Fabio Quartararo terus menunjukkan tahap konsisten, menamatkan dua sesi berkenaan di tempat kelima keseluruhan dengan catatan terpantas, 1 minit 54.154 saat.

"Kami perlu kekal tenang dan terus berusaha seperti sebelum ini. Saya dapat rasakan sesuatu yang baik dalam dua sesi latihan bebas ini," katanya pelumba termuda dalam kelas perdana itu.

Sementara itu, Khairul Idham Pawi yang mewakili pasukan PETRONAS Spinta Racing dalam kelas Moto2 mahu mempertingkatkan lagi keseimbangan keseluruhan motosikal bagi memperbaiki kelajuannya  sebelum hari perlumbaan bermula.

"Objektifnya kami perlu mempertingkatkan keseimbangan keseluruhan motosikal untuk membolehkan saya meningkatkan kelajuan selain mencari lebih prestasi ketika membrek. Kami akan cuba meningkatkan isu ini," katanya.

Dalam saingan Moto3, dua pelumba pasukan negara - Ayumu Sasaki dan John McPhee - masing-masing mahu menyesuaikan diri dengan format kelayakan baharu yang diperkenalkan pada musim ini.

"Format kelayakan baharu ini menjadikan saingan lebih sukar kerana kamu perlu memberi sepenuh perhatian kepada catatan sepusingan.

"Sukar untuk saya sesuaikan diri tetapi ramai lagi pelumba berada dalam situasi ini dan saya perlu pantas menyesuaikan diri dengan format ini," kata Ayumu tatkala rakan sepasukannya McPhee menjangkakan sesuatu yang berbeza bakal berlaku pada hari perlumbaan berbanding sesi latihan bebas.

"Apa yang jelas, perlumbaan akan berbeza berbanding sesi latihan bebas tetapi saya perlu mencuba beberapa perkara pada sesi latihan bebas ketiga (FP3) dan membuat perubahan yang termampu.

"Ini kerana jurang catatan masa sepusingan agak dekat dan kami perlu berada di posisi grid yang baik," kata McPhee.

Berita Harian X