Selasa, 26 Februari 2019 | 8:30pm
Fabio Quartararo. - Foto © SIC Racing
Fabio Quartararo. - Foto © SIC Racing

PETRONAS Yamaha Sepang Racing catat keputusan positif di Losail

 

KUALA LUMPUR: PETRONAS Yamaha Sepang Racing menamatkan sesi ujian rasmi terakhir MotoGP dengan kedua-dua pelumbanya berada dalam kelompok 10 terbaik di Sirkit Antarabangsa Losail sekali gus memberi bayangan positif menjelang pusingan pertama 2019 di trek sama, 8 hingga 10 Mac ini. 

Pelumba dari Perancis yang juga muka baharu (rookie) dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia itu, Fabio Quartararo menempatkan dirinya di tangga kedua terpantas untuk tiga hari ujian rasmi berkenaan manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli di tangga ketujuh. 

Quartararo mencatat masa terbaiknya, 1 minit 54.441 saat pada sesi terakhir awal pagi tadi manakala Morbidelli dari Itali, 1:54.660s. Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales mengungguli keseluruhan sesi ujian dengan catatan terpantas, 1:54.208s. 

"Hari yang sangat positif bagi kami," kata Quartararo yang baru berusia 19 tahun. "Pagi ini, ia tampak tidak begitu baik kerana cuaca sejuk dan ada pasir di trek tetapi pada akhirnya tiupan angin berkurangan dan sekali lagi, setiap kali keluar ke trek, saya berasa lebih baik. 

"Setakat tahun ini, saya hanya mempunyai enam hari di atas motosikal dan jujurnya saya sangat selesa ketika menunggang. Saya berjaya melakukan beberapa catatan sepusingan yang pantas dan itulah yang kami kurang di Sepang sebelum ini. 

"Di sini, kami tidak begitu bergelut untuk melakukan catatan masa sepusingan, kami mencapai kelajuan dengan pantas dan mereka juga begitu. 

"Ia juga bagus untuk melakukan perlumbaan secara simulasi. Berbanding dengan apa yang dilakukan di Sepang, kali ini lebih baik daripada sudut kelajuan tetapi ia juga sukar kerana saya menunggang bersendiran sepanjang masa secara maya. Saya fikir kami melakukannya secara berperingkat, satu peningkatan yang tidak pernah berhenti."

Sementara itu, pelumba negara yang bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 musim baharu ini, Hafizh Syahrin Abdullah memperbaiki catatan masanya pada hari terakhir ujian dengan catatan 1:56.371s. 

"Saya sangat gembira kerana dapat memperbaiki catatan masa sepusingan dan juga usaha yang dilakukan pada hari terakhir bersama pasukan. 

"Kami tahu, kami masih jauh ketinggalan meskipun kami lebih pantas (daripada catatan sebelum ini). Secara sedikit demi sedikit, saya mula memahami untuk menyesuaikan diri dengan motosikal ini," katanya.

Berita Harian X