Jumaat, 22 Februari 2019 | 10:20am
Pemandu Ferrari Monegasque, Charles Leclerc pada sesi latihan kejuaraan F1 di Litar Lumba de Catalunya, Montmelo, Barcelona. - Foto AFP/REUTERS

Leclerc tidak risau tekanan

MONTMELO, Sepanyol: Charles Leclerc menegaskan semalam dia tidak bimbang dengan tekanan yang akan dihadapinya ketika dia cuba membantu Ferrari menamatkan kemarau kejuaraan F1 yang kini berlanjutan lebih sedekad.

Pemandu Monaco berusia 21 tahun itu memulakan musim pertama bersama gergasi Itali itu selepas meninggalkan Sauber bagi menggantikan Kimi Raikkonen, yang juga pemandu terakhir menang gelaran dunia kategori pemandu bersama Ferrari pada 2007.

Selepas mencatat masa terpantas pada hari kedua minggu pertama ujian pra musim, Leclerc menafikan jangkaan dalam kempen kali ini yang menyaksikan dia akan berpasangan dengan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, bintang Jerman yang 10 tahun lebih tua daripadanya.

“Saya cuba untuk tidak memikirkannya. Adalah penting buat saya hanya fokus terhadap diri sendiri, tugas yang saya perlu lakukan dan di luar litar dengan jurutera tanpa memikirkan apa jangkaan orang terhadap saya,” kata Leclerc.

“Sejak saya berada di litar saya sudah lakukan kerja yang agak bagus, saya cuba ketepikan emosi saya.”

Leclerc berkata adalah satu cabaran untuk meningkat daripada petak pertengahan bersama Sauber, pasukan disertainya pada 2018, ke Ferrari yang memiliki 16 gelaran pengeluar dan 15 mahkota pemandu.

Anugerah pengeluar terakhir dimenangi Ferrari ialah pada 2008, setahun selepas kejayaan Raikkonen.

Leclerc percaya Ferrari memiliki jentera dan pemandu untuk menggugat pengusaan Mercedes dengan Hamilton sudah meraih lima kejuaraan terakhir.

“Saya rasa kami ada jentera yang kuat. Namun dalam aspek perbandingan secara terus, termasuk Mercedes, saya rasa kami hanya akan tahu selepas perlumbaan pertama (di Melbourne, 17 Mac),” katanya. - AFP

Berita Harian X