Selasa, 19 Februari 2019 | 6:23pm

Siapa gandingan Mitchell perlumbaan WTCR di Sepang?

KUALA LUMPUR: Siapakah individu yang bakal berkolaborasi dengan pemandu negara, Mitchell Cheah dalam perlumbaan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 13 hingga 15 Disember ini?.

Persoalan berkenaan timbul selepas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberi bayangan salah satu slot `wild card’ di WTCR di Sepang itu bakal disertai individu yang menyertai saingan dua roda atau empat roda.

WTCR dijadual berlangsung seiring dengan satu lagi perlumbaan dua roda iaitu Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) yang dikenali sebagai Lapan Jam Sepang - dan dua kejuaraan ini menjadi acara julung kali yang dianjurkan secara serentak.

Untuk perlumbaan EWC - yang menjadi pusingan kelayakan untuk pasukan dari Asia ke perlumbaan Lapan Jam Suzuka pada 2020 - SIC menamakan pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo selain pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi.

Mitchell yang meraih gelaran juara Asia Tenggara di Kejuaraan TCR Asia Tenggara dan naib juara Asia (di TCR Asia Series 2018) diberikan slot wild card ke WTCR tatkala rakan sepasukannya untuk perlumbaan waktu malam itu masih menjadi tanda tanya.

"Untuk EWC, kita akan menggunakan khidmat Morbidelli dan Quartararo kerana kita mahu menang di laman sendiri," kata Razlan.

"Dua pelumba MotoGP ini dan Khairul Idham mempunyai peluang yang baik bersama jentera pengeluar Yamaha di peringkat endurance.

"Yamaha sudah banyak kali meraih kemenangan termasuk empat kali berturut-turut di Lapan Jam Suzuka dan sudah tentu Yamaha mahu meraih kemenangan di Sepang.

"Untuk WTCR, ada dua slot untuk wild card dan salah satunya diberikan kepada Mitchell dan seorang lagi rahsia dan akan diumumkan nanti. Mungkin pelumba ataupun pemandu tempatan."

Berdasarkan desas-desus, seorang pelumba versatil tempatan yang pernah beraksi dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia sudah pun ditawarkan slot berkenaan.

Seandainya benar, acara yang dijadual berlangsung di bawah lampu limpah SIC itu pastinya akan menjadi menarik, hujung tahun ini.

Berita Harian X