Rabu, 6 Februari 2019 | 9:37pm
MARC Marquez menunggang jentera baharu pada sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto AFP
MARC Marquez menunggang jentera baharu pada sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto AFP

Marquez terpantas di Sepang

SEPANG: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez tampak segar selepas mengharungi pembedahan bahu apabila merekodkan masa terpantas pada hari pertama sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Berlangsung dalam keadaan cuaca panas, Marquez yang menunggang jentera Honda melakukan 29 pusingan dan mencatatkan masa terbaik 1 minit 59.621 saat.

“Saya memperoleh satu lagi semangat dan ia seperti adrenalin dalam badan saya dan ini penting,” kata penunggang kelahiran Sepanyol itu kepada pemberita dengan senyuman.

Pelumba berusia 25 tahun dan juara dunia lima kali itu mengharungi pembedahan selama empat jam bagi merawat kecederaan bahunya pada Disember lalu.

Pertama kali menunggang jentera MotoGP sejak Disember lalu, Marquez berkata dia tidak mahu menekan dirinya di Sepang bagi mengelak sebarang masalah terhadap proses pemulihannya dengan fokusnya adalah untuk meneliti prestasi enjin baharu Honda.

Sekali pun merakam masa terpantas, Marquez mengakui merasa kesakitan ketika mengambil selekoh serta melakukan brek yang memaksanya mengubah corak tunggangan.

Begitupun, ia tidak menghalangnya untuk kekal kompetitif menjelang perlumbaan pembuka musim pada Mac dengan pelumba Suzuki, Alex Rins mencatat masa kedua terpantas di Sepang.

Di belakang Rins ialah pelumba Yamaha, Maverick Vinales diikuti pelumba Ducati, Tito Rabat manakala legenda Itali, Valentino Rossi mencatat masa keenam terpantas. - AFP

Berita Harian X