Isnin, 29 Oktober 2018 | 6:50pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Jualan tiket GP Malaysia meningkat 11 peratus

KUALA LUMPUR: Meskipun dengan tambahan Grand Prix (GP) Thailand berada dalam kalendar musim ini dan Marc Marquez sudah merangkul gelaran juara dunia, GP Malaysia yang dijadual berlangsung hujung minggu ini bagaimanapun tetap menarik kehadiran penonton malah mampu memadamkan rekod sebelum ini.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini mengesahkan penjualan tiket sudah pun melepasi angka dikutip pada masa sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 11 peratus. Tiket di bahagian Hillstand bagaimanapun masih boleh dibeli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali menjangkakan lebih 100,000 penyokong akan turun ke SIC pada hari perlumbaan, Ahad ini.

“Sehingga 25 Oktober, yang juga angka terbaru kami terima, hampir 90,000 tiket sudah pun dijual. Ini 11 peratus lebih daripada apa yang dijual ketika tempoh yang sama tahun lalu,” kata Razlan.

“Grandstand F habis dijual pada Mac lalu manakala grandstand utama habis dijual pada Jun.

“Kami menjangkakan satu lagi rekod dapat dipecahkan tahun ini iaitu daripada sudut kehadiran dengan lebih 100,000 pada hari perlumbaan kali ini.”

Meskipun beraksi dalam keadaan basah tahun lalu, 97,457 penyokong hadir pada hari perlumbaan dengan jumlah keseluruhan yang hadir adalah 166,484 di sepanjang tiga hari, satu rekod baharu buat trek ini.

Pada hari perlumbaan 2016, seramai 161,533 penyokong hadir selama tiga hari.

Razlan berkata, salah satu peningkatan jumlah berkenaan adalah kerana penyertaan pasukan dan pelumba negara dalam Kejuaraan Motosikal Dunia menjadikan ia lebih popular meskipun Thailand kini menjadi tuan rumah bagi salah satu pusingan bagi musim ini.

“Kami menjual habis tiket untuk grandstand kecuali VR46 Tribune sebelum pusingan di Thai lagi,” kata Razlan.

“Salah satu sebab kami mampu mengekalkan populariti acara ini adalah kerana pelumba tempatan kita beraksi di Kejuaraan Dunia seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin.

“Kami sentiasa percaya, apa yang penting adalah mendapatkan minat daripada warga tempatan dalam perlumbaan.”

Buat kali pertamanya tahun ini, Malaysia mempunyai pelumba yang beraksi dalam kesemua kelas dipertandingkan dengan Hafizh beraksi bersama Monster Yamaha Tech3 musim ini.

Dalam kelas Moto2, Malaysia diwakili Khairul Idham Pawi yang bersama IDEMITSU Honda Team Asia manakala pelumba Finland, Niki Tuuli mewakili pasukan Malaysia, PETRONAS Sprinta Racing.

PETRONAS Sprinta Racing juga mempunyai wakil dalam kelas Moto3 yang menyaksikan Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki dari Jepun menjadi taruhan mereka.

Berita Harian X