Sabtu, 22 September 2018 | 9:32pm
PELUMBA Moto3 (dari kiri) Enea Bastianini dari Itali, Adam Norrodin dari Malaysia, dan Lorenzo Dalla Porta dari Itali ketika sesi latihan bebas di litar MotorLand Aragon di Alcaniz, timur laut Sepanyol. - Foto EPA

Adam sambar petak ke-10 GP Aragon

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon esok bakal menyaksikan pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin bermula dari petak ke-10 selepas mencatat 1 minit 58.388 saat pada sesi kelayakan sebentar tadi.

Pada sesi berkenaan, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu ketinggalan 1.322s di belakang Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 yang menyambar petak pertama saingan di sirkit MotorLand Aragon.

Ia adalah petak kelapan pertama buat pelumba dari Sepanyol itu yang setakat ini mendahului carta keseluruhan Moto3 dengan 166 mata.

Berada di barisan depan bersama Martin nanti ialah Jaume Masia dari pasukan Bester Capital Dubai dan Enea Bastianini (Leopard Racing).

Adam pula bakal berada di barisan keempat bersama rakan sepasukan Masia, Marcos Ramirez dan Jakub Kornfeil (Redox PruestelGP).

“Saya sangat gembira, minggu ini kami melakukan tugas yang bagus sekali,” kata Adam. “Dari awal kami bergelut tapi kami temui rentak dan setiap sesi kami cuba perkara yang baru dan saya sangat gembira.

“Ini salah satu keputusan kelayakan terbaik pernah saya lakukan. Saya sudah capai sasaran untuk melakukan sekitar 58 saat dan saya sangat gembira dan tak sabar untuk perlumbaan esok.

“Esok saya jangkakan kelompok yang besar seperti tahun lalu, jadi sudah pasti kami perlu berusaha lebih lagi sehingga garisan penamat.”

Selepas 13 pusingan musim ini, Adam, 20, sudah mengumpul 28 mata untuk berada di tangga ke-21 keseluruhan.

Pada perlumbaan di litar sama tahun lalu, Adam menamatkan perlumbaan di tangga ke-15 untuk mengumpul satu mata.

Pada tahun pertamanya menyertai Moto3 sebelum itu, Adam menamatkan perlumbaan di tangga ke-23 selepas bermula dari petak ke-26.

Berita Harian X