Rabu, 19 September 2018 | 1:09pm
PELUMBA Moto3 Malaysia, Adam Norrodin. - Foto Asyraf Hamzah
PELUMBA Moto3 Malaysia, Adam Norrodin. - Foto Asyraf Hamzah

Adam buru mata di Aragon

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Aragon hujung minggu ini menjadi medan buat pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin untuk meneruskan momentum kutipan mata sebelum saingan Kejuaraan Motosikal Dunia memasuki rantau Asia dan Australia.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mengumpul empat mata berharga di GP San Marino dua minggu lalu, apabila menamatkan saingan di tangga ke-12 selepas kemarau mata sejak GP Republik Czech pada Ogos.

Malah Adam, 20, berkata, dia kini bersemangat menantikan saingan di sirkit MotorLand Aragon yang pada musim lalu menyaksikan dirinya menamatkan perlumbaan di tangga ke-15.

“Keserasian dengan jentera tahun lalu sangat bagus tetapi kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza minggu ini dan membawanya ke satu tahap lebih baik.

“Saya teruja untuk kembali ke trek dan melihat apa yang boleh kami lakukan; saya berasa yakin yang kami mampu boleh meraih keputusan yang baik hujung minggu ini.

“Kami menunjukkan peningkatan di sepanjang Grand Prix San Marino dan sekarang, kami perlu mempertingkatkannya lagi.

“Kami harus kekal fokus dan meneruskan usaha gigih untuk meningkat. Sasarannya adalah untuk lebih kuat di awal saingan dan mengumpul mata sebelum memulakan pusingan seterusnya di Asia,” kata Adam yang pada musim depan bakal menggalas cabaran di Kejuaraan Moto2 Eropah itu.

Selepas 13 pusingan musim, Adam kini berada di tangga ke-21 dengan 28 mata, manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki ke-18, selepas mengumpul 32 mata.

Sasaki bakal meneruskan saingan bersama rakan pasukan baharu yang menggantikan Adam musim depan dari Great Britain, John McPhee.

 

Berita Harian X