Rabu, 19 September 2018 | 12:57pm

Berbasikal trek mungkin di sebelah malam

IPOH: Acara berbasikal trek yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Velodrom Rakyat, Ipoh, bakal ditangguhkan ke perlumbaan malam sekiranya hujan berlaku pada waktu pertandingan.

Dengan cuaca yang sering hujan di sebelah pagi dan petang di Ipoh ketika ini, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh yang juga pengurus pertandingan berbasikal di SUKMA Perak, berkata penganjur sudah bersedia untuk mengadakan perlumbaan di sebelah malam jika berlakunya hujan.

"Kami sudah bersiap sedia dengan lampu limpah yang membolehkan perlumbaan diadakan di sebelah malam. Seperti semua sedia maklum, velodrom ini adalah velodrom terbuka dan permukaan trek di sini menggunakan kayu, jadi jika ada hujan sedikit pun ia mungkin membahayakan buat pelumba memandangkan permukaan akan menjadi licin. 

"Jika berlakunya hujan pada perlumbaan hari terakhir (Sabtu ini) yang juga adalah hari terakhir SUKMA dipertandingkan, keputusan sama ada mahu meneruskan perlumbaan atau tidak adalah terletak kepada ketua teknikal delegasi dan ketua komisar sama ada mahu meneruskan perlumbaan atau tidak," katanya ketika meninjau sesi latihan rasmi berbasikal trek di Velodrom Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini acara berbasikal trek di SUKMA Perak hampir digugurkan berikutan permukaan trek yang dikatakan tidak selamat digunakan, namun akhirnya sijil homologation daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) diperoleh bulan lalu selepas selesainya kerja pengubahsuaian.

Velodrom Rakyat di Ipoh baru sahaja selesai menjalani proses penambahbaikan sejak hujung tahun 2016, terutama dalam kerja pembinaan semula trek kayu dengan kos berjumlah RM11 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Presiden Persatuan Berbasikal Perak itu berkata, beliau berhasrat untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi supaya pembinaan bumbung di velodrom yang dibina pada tahun 1986 itu dapat direalisasikan.

"Velodrom ini memang digunakan bagi tujuan pembangunan pelumba berbasikal di tanahair, jadi kami berharap sekurang-kurangnya separa bumbung dapat ditambah supaya jangka hayat permukaan trek kayu itu dapat bertahan lebih lama.

“Kos pembinaan bumbung itu nanti mungkin memakan belanja dianggarkan RM3 juta memandangkan kerja pembinaan bumbung nanti juga akan membabitkan pengalihan lampu limpah yang ada sekarang," katanya. 

Dalam sesi latihan rasmi hari ini, kebanyakan kontinjen yang sudah menjalani latihan rasmi berpuas hati dengan keadaan trek yang baharu itu.

Pakar pecut Johor, Khairil Nizam Rasol, 21, yang akan bertanding dalam acara 200 meter pecut berkata, dia akan bertanding buat kali pertama di trek Velodrom Rakyat pada temasya kali ini.

"Permukaan trek di sini adalah agak bergelombang sama seperti di trek Velodrom Kuala Lumpur sebelum ini, jadi saya rasa tidak ada masalah bagi saya untuk menyesuaikan diri dalam pemburuan pingat emas pertama saya dalam temasya ini," katanya.

 

 

 

 

Berita Harian X