Selasa, 18 September 2018 | 2:53pm
PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Osman Adnan

Hafizh cuba bangkit di Aragon

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu memperbaiki keputusannya di Grand Prix Aragon hujung minggu ini selepas dihimpit dua pusingan perlumbaan yang menyukarkan sebelum ini.

Hafizh yang ketika ini ketinggalan dua mata daripada pendahulu Franco Morbidelli dalam carta muka baharu terbaik MotoGP menunjukkan tanda penurunan prestasi sejak GP Austria yang menyaksikannya menamatkan saingan di tangga ke-16 selepas mengumpul dua mata di Republik Czech sebelum itu.

“Saya amat menantikan untuk ke Aragon kerana dua perlumbaan sebelum ini, saya tidak begitu bagus dan kami mahu memahami kenapa ia terjadi, cuba belajar daripada kesilapan dan berusaha gigih sejak hari pertama saingan hingga perlumbaan,” kata pelumba Monster Yamaha Tech3 itu.

“Saya mengharapkan perasaan yang baik dengan motosikal ketika perlumbaan terakhir di Eropah hujung minggu ini sebelum musim bergerak ke Asia dan Australia.

“Saya sangat gembira dengan usaha saya ketika ini. Saya berlatih dengan gigih dan cuba bersiap sedia. Saya berharap untuk tiba di Aragon dengan perasaan yang baik dan badan saya bersiap sedia 100 peratus.”

Pada perlumbaan dua minggu lalu di GP San Marino, Hafizh menamatkan saingan di tangga ke-19 selepas bermula dari petak kedua tercorot ke-25.

Seterunya, Morbidelli dari Itali menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 di Litar Misano untuk mengumpul empat mata sekali gus merampas status pendahulu Hafizh di carta muka baharu terbaik dengan mata keseluruhan ketika ini, 26 mata.

Berita Harian X