Ahad, 9 September 2018 | 9:44pm
GAMBAR fail, pelumba Itali Franco Morbidelli dari EG 0,0 Marc VDS semasa sesi latihan bagi perlumbaan MotoGP Grand Prix San Marino dan Riviera Rimini di Litar Misano, di Misano Adriatico, Itali. - Foto EPA

Morbidelli rampas takhta muka baharu terbaik daripada Hafizh

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di luar kelompok kutipan mata sekali gus menyaksikan status pendahulu dalam kedudukan muka baharu terbaik MotoGP kini dirampas pencabar terdekatnya, Franco Morbidelli.

Hafizh melengkapkan 27 pusingan perlumbaan di Sirkit Misano di tangga ke-19 manakala Morbidelli yang bakal menyertai pasukan MotoGP pertama negara PETRONAS Yamaha Sepang Racing musim depan, mengumpul empat mata apabila menemui garisan penamat di tangga ke-12.

Pelumba Monster Yamaha Tech3, Hafizh ketinggalan dua mata di belakang pencabarnya dari Itali itu yang kini mengumpul 26 mata manakala seorang lagi pesaingnya, Takaaki Nakagami yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-13 berada di tangga ketiga dengan 14 mata.

Pada perlumbaan yang dimenangi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso itu, Hafizh mencatat 43 minit 00.594 saat untuk berada di tangga ke-19 selepas memulakan saingan daripada petak kedua paling belakang, ke-25.

Rakan sepasukannya, Johann Zarco pula menamatkan saingan di tangga ke-10 untuk mengutip enam mata bagi menjadikan jumlah keseluruhannya ketika ini, 110 mata. Pelumba dari Perancis itu kini berada di tangga ketujuh dalam kedudukan kelas MotoGP.

Pendahulu carta, Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda menamatkan saingan di tangga kedua sekali gus terus menjarakkan dirinya dalam kedudukan keseluruhan dengan 221 mata, mendahului Dovizioso 67 mata di depan.

Pusingan ke-14 musim selepas ini dijadual berlangsung di GP Aragon, Sepanyol pada 23 September ini.

Berita Harian X