Ahad, 15 Julai 2018 | 9:54pm

Hafizh rampas kedudukan muka baharu MotoGP

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah merampas semula kedudukan pendahulu senarai muka baharu MotoGP daripada Franco Morbidelli apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di tangga ke-11 yang menjanjikan lima mata berharga, sebentar tadi.

Ketiadaan Morbidelli di litar Sachsenring kerana cedera tangan ketika GP Belanda, dua minggu lalu dimanfaatkan Hafizh dan kini pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu mendahului senarai berkenaan dengan 22 mata selepas mencatat kepantasan 41 minit 30.828 saat (s).

"Tempat ke-11 adalah yang terbaik boleh saya raih ketika ini," kata Hafizh yang mewakili Monster Yamaha Tech3. "Saya cuba untuk bangkit lebih bersemangat selepas berdepan beberapa pusingan yang sukar dan kini kami kembali sebagai pendahulu muka baharu sebelum cuti musim panas.

"Saya akan cuba mengekalkan keadaan badan supaya konsisten, berlatih dengan lebih gigih dan tidak hilang fokus kerana saya mahukan gelaran muka baharu terbaik."

Morbidelli yang mewakili pasukan pasukan EG 0,0 Marc VDS kini turun ke tangga kedua dengan 19 mata selepas sembilan pusingan perlumbaan musim ini.

Pelumba LCR Honda IDEMITSU, Takaaki Nakagami yang tidak menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di pusingan keempat daripada 30 pusingan, terus menghuni tangga ketiga carta dengan 10 mata.

Sementara itu, pelumba Repsol Honda, Marc Marquez membuktikan dirinya 'Raja' GP Jerman apabila merangkul kemenangan keenam berturut-turut sejak mula menyertai kelas MotoGP pada tahun 2013.

Marquez melengkapkan 30 pusingan perlumbaan dengan catatan terpantas 41'05.019s sekali gus melebarkan status pendahulu musim ini dengan kelebihan 46 mata daripada pencabar terdekatnya dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi.

Rossi menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan catatan 41'07.215s manakala rakan sepasukannya Maverick Vinales melengkapkan podium, 41'07.795s.

Perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung di GP Republik Czech, 5 Ogos ini di sirkit Automotodrom Brno. 

Keputusan MotoGPGP Jerman

1. Marc Marquez (SPA/Repsol Honda Team) 41'05.019s

2. Valentino Rossi (ITA/Movistar Yamaha MotoGP) 41'07.215s

3. Maverick Vinales (SPA/Movistar Yamaha MotoGP) 41'07.795s

4. Danilo Petrucci (ITA/Alma Pramac Racing) 41'08.395s

5. Alvaro Bautista (SPA/Angel Nieto Team) 41'10.202s...

11. Hafizh Syahrin Abdullah (MAS/Monster Yamaha Tech3) 41'30.828s

Berita Harian X