Isnin, 18 Jun 2018 | 11:47am

Assen medan Hafizh tebus kecewa

 

KUALA LUMPUR: Selepas nasib tindak menyebelahinya di perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya, pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah kini mahu menebus kekecewaannya di GP Belanda pada 1 Julai ini.

Hafizh tidak menamatkan perlumbaan di Sirkit Barcelona-Catalunya itu selepas terjatuh pada baki akhir empat pusingan ketika dia sedang bersaing sengit dalam kelompok 10 teratas.

"Saya cuba belajar daripada kesilapan ini dan cuba bangkit dengan lebih baik lagi," kata pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu.

"Kami mungkin dapat menamatkan saingan di kelompok sembilan terbaik tetapi ia tidak berlaku. Saya tidak boleh menggambarkan betapa saya rasa bersalah kepada pasukan, penaja dan semua pihak yang menyokong saya.

"Saya berjanji akan berusaha lebih baik untuk pusingan seterusnya."

Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan Hafizh tidak dapat mempertahankan kedudukan pendahulu dalam carta pelumba muka baharu terbaik apabila seteru utamanya, Franco Morbidelli mengutip dua mata selepas menamatkan saingan di tangga ke-14.

Pelumba EG 0,0 Marc VDS dari Itali itu kini mendahului carta dengan 19 mata manakala Hafizh berada di tangga kedua dengan 17 mata. Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami yang turut tidak menamatkan perlumbaan semalam, berada di tangga ketiga dengan 10 mata.

Sementara itu, pengurus pasukan, Herve Poncharal mengakui kecewa dengan tragedi menimpa Hafizh namun yakin pelumba berusia 24 tahun mampu untuk merampas kembali status pendahulu daripada Morbidelli.

"Tidak mengapa, dia hanya dua mata di belakang Morbidelli dalam kedudukan muka baharu terbaik dan perlumbaan masih banyak lagi.

"Harap dia boleh belajar dengan lebih banyak lagi dan meraih keputusan yang lebih baik di Assen nanti," kata Poncharal.

 

 

Berita Harian X