Khamis, 31 Mei 2018 | 7:09pm
HAFIZH Syahrin memuat naik gambar di Instagram yang menunjukkan dia dan basikal bukit miliknya di Sepanyol, tempat di mana dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan dia akan berlumba dalam saingan MotoGP.

Hafizh imbau kenangan lalu

KUALA LUMPUR: Menjelang satu lagi pusingan penting menantinya di Mugello hujung minggu ini, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mengambil peluang mengimbas detik ketika dia diberitahu impiannya untuk berlumba dalam kelas perdana itu bakal menjadi kenyataan. 

Hafizh baru-baru ini memuat naik gambar di Instagram yang menunjukkan dia dan basikal bukit miliknya di Sepanyol, tempat di mana dia menerima panggilan telefon daripada Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang memaklumkan dia akan berlumba dalam saingan MotoGP musim ini. 

Hafizh pada awalnya dijadual berlumba bersama SIC Racing Team dalam saingan Moto2 tahun ini sebelum dia menandatangani kontrak dengan Monster Yamaha Tech3 sebagai pengganti kepada Jonas Folger. 

"Saya tidak akan lupakan tempat ini, kamu tahu kenapa? Ini adalah tempat di mana saya menerima panggilan daripada bos (yang memberitahu ada) berita gembira dan buruk," kata Hafizh merujuk kepada Razlan. 

"Beliau memberitahu berita buruknya saya tidak akan berlumba dalam Moto2. Ini membuatkan saya sedih kerana saya cukup bermotivasi dan tidak sabar untuk berlumba bersama dengan pasukan baharu (SIC Racing Team). 

"Namun, dia turut memaklumkan berita gembira saya akan beraksi dalam MotoGP. Saya seperti tidak percaya, saya terkejut beberapa minit. Saya rasa seperti mahu menangis kerana ini adalah impian saya. Selepas tiga hari, saya masih belum dapat mempercayainya. 

"Namun, kamu bekerja keras dan ia membuahkan hasil. Terus bekerja dan percaya dengan diri sendiri selain kekal merendah diri. 

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaiknya, terima kasih kepada keluarga, rakan, peminat dan penaja yang sentiasa menyokong saya." 

Pelumba di bawah program bakat SIC berpangkalan di Sepanyol dan sering berbasikal di sana sebagai sebahagian daripada program kecergasannya. 

Hafizh mencetuskan impak positif setakat ini dalam penampilan pertamanya di MotoGP apabila berjaya mengutip mata di Qatar, Argentina dan Le Mans sekali gus mengukuhkan peluangnya untuk diangkat sebagai pelumba baharu terbaik tahunan. 

Dia ketika ini menghuni kedudukan ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 13 mata dan yang kedua terbaik dalam kategori pelumba baharu di belakang Franco Morbidelli.

Berita Harian X