Jumaat, 20 April 2018 | 5:44pm
PELUMBA Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin catat masa 1 minit 56.736 saat pada sesi kelayakan SuperSports 600cc Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar The Bend Motorsport Park, Australia. - Foto AGENSI
PELUMBA Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin catat masa 1 minit 56.736 saat pada sesi kelayakan SuperSports 600cc Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar The Bend Motorsport Park, Australia. - Foto AGENSI

Kasma ke-4 terpantas di ARRC Australia

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayudin semakin menunjukkan keserasian dengan jentera YZF-R6 apabila muncul pelumba keempat terpantas pada sesi kelayakan SuperSports 600cc Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, hari ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencatat masa 1 minit 56.736 saat (s), 0.145s di belakang pelumba terpantas, Yuki Ito (Yamaha Racing Team Asean) yang mencatatkan 1'56.591s.

Rakan sepasukannya, Ramdan Rosli berada di tangga ke-10 terpantas dengan catatan 1'57.459s tatkala juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) tampak bergelut apabila bakal bermula dari petak ke-11.

"Berbanding pusingan pertama di Thailand, saya semakin memahami karakter jentera terutama dari segi suspensi dan penggunaan tayar yang banyak membantu saya di sini," kata Kasma.

"Bentuk litar 'fast track' juga memberi sedikit kelebihan kerana saya sukakan litar seperti ini. Saya berharap dapat mencatat keputusan terbaik dalam perlumbaan akhir nanti."

Sementara itu, Ramdan yang menamatkan saingan di tempat ke-14 dan 11 pada  pusingan pertama di Sirkit Antarabangsa Buriram, Thailand Mac lalu berkata, dia berharap dapat menyesuaikan diri dengan pantas di litar baharu dalam kalendar ARRC itu.

"Trek baharu, saya harap dapat menyesuaikan diri dan dapat menemui pelarasan motosikal dengan cepat bagi  mendapatkan catatan masa yang baik di sini," katanya.

KEPUTUSAN SESI KELAYAKAN

- SUPERSPORTS 600CC

1. Yuki Ito (Yamaha Racing Team Asean) 1:56.591s

2. Joseph Francis (Webike Ikazuchi Racing) 1:56.690s

3. Taiga Hada (Idemitsu Honda Racing India by T.Pro TenlO) 1:56.710s

4. Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) 1:56.736s

5. Tomoyoshi Koyama (Musashi Boon Siew Honda Racing) 1:57.063s

Berita Harian X