Sabtu, 17 March 2018 | 1:22am
PELUMBA Ducati, Andrea Dovizioso mengungguli keputusan bagi gabungan kedua-dua sesi latihan. - Foto Twitter Andrea Dovizioso
PELUMBA Ducati, Andrea Dovizioso mengungguli keputusan bagi gabungan kedua-dua sesi latihan. - Foto Twitter Andrea Dovizioso

Hafizh ke-22 sesi latihan bebas

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan aksi hari pertamanya di saingan Grand Prix (GP) Qatar apabila menduduki tangga ke-22 selepas sesi latihan bebas kedua di Litar Losail, Qatar sebentar tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu melakukan 1 minit 56.454 saat di sesi kedua di mana lebih baik berbanding sesi pertama, 1'56.544s.

Keputusan bagi gabungan kedua-dua sesi latihan kelas perdana itu diungguli pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang mencatat masa terpantas, 1'54.361s.

Dalam aksi Moto2, Khairul Idham Pawi (IDEMITSU Honda Team Asia) mempamerkan tunggangan lebih meyakinkan apabila mencatat 2'01.906s pada sesi kedua sekali gus meletakkan dirinya berada di tangga ke-18.

Seorang lagi pelumba negara dari pasukan SIC Racing yang juga muka baharu dalam kelas pertengahan, Zulfahmi Khairuddin berada di tangga ke-31 dengan catatan masa sepusingan terbaik 2'04.357s berbanding 2'05.848s dilakukannya pada sesi pertama.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin pula berada di tangga ke-20 dengan menyaksikan dirinya turut memperbaiki catatan masa sepusingannya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu melakukan 2'07.739s pada sesi kedua di mana lebih baik berbanding 2'09.255s dilakukan sebelum itu.

"Pada sesi latihan bebas pertama, ia tidak begitu menarik dan saya dapat merasai kurang cengkaman dan ia berisiko untuk menunggang lebih laju.

"Kami tidak boleh melakukan banyak perubahan kerana jarak masa terlalu jauh. Di latihan bebas kedua, kami dapat lihat keadaan trek semakin baik dan catatan masa sepusingan juga bertambah baik.

"Namun saya masih tidak berpuas hati kerana saya tahu motosikal mampu pergi lebih laju dan apa yang perlu, saya harus lebih fokus dan memperbaiki corak tunggangan bagi sesi latihan bebas ketiga dan kelayakan nanti," kata Adam.

Berita Harian X