Jumaat, 2 March 2018 | 7:15pm
PELUMBA pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui kini lebih memahami karektor jenteranya. - Foto Monster Yamaha Tech3
PELUMBA pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui kini lebih memahami karektor jenteranya. - Foto Monster Yamaha Tech3

Hafizh makin serasi 'layan' jentera MotoGP

KUALA LUMPUR: Penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah terus merapatkan jurang dengan pelumba lebih berpengalaman berakhir hari pertama ujian pra-musim di Qatar, awal pagi semalam.

Pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu melakukan catatan terpantas sepusingan 1 minit 56.731 saat (s) di Litar Antarabangsa Losail untuk mengakhiri sesi latihan di tangga ke-22 daripada 24 penunggang di trek.

Lebih meyakinkan, catatan Hafizh hanya kurang 1.678s di belakang pelumba pasukan Movistar Yamaha, Maverick Vinales (1:55.053s) yang merekod masa terpantas.

Ia lebih baik berbanding catatan yang dilakukannya pada sesi ujian di Buriram, Thailand pertengahan bulan lalu yang menjadi penampilan pertamanya di atas jentera MotoGP selepas tiba selaku pengganti kepada pelumba Jerman, Jonas Folger yang mengalami masalah kesihatan.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengakui dia kini lebih memahami karektor jenteranya dan fokus untuk terus mencantas catatan masa dengan pelumba-pelumba ternama.

"Secara keseluruhan saya merasa amat baik, sejak daripada awal saya memiliki begitu banyak keyakinan," kata Hafizh.

"Saya berdepan beberapa isu kecil pada lewat sesi tetapi selepas beberapa minit, perasaan saya kembali baik.

"Kami cuba untuk memahami daya rintangan yang baharu dan pada penghujung sesi, saya boleh memberikan mereka (krew) beberapa maklum balas yang baik.

"Ia berjalan dengan lancar dan tenang dan saya gembira untuk mengatakan yang saya sudah pun memahami jentera ini. Saya rasa saya boleh terus meningkat tetapi kami mengambil pendekatan satu langkah ke satu langkah untuk mengelak sebarang halangan.

"Ia kerana jika kamu pergi terlalu pantas kami dengan mudah boleh keliru. Untuk hari kedua, kami akan meneruskan eksperimen."

Di Buriram, catatan terbaik Hafizh ketinggalan 1.756s di belakang pelumba yang merekodkan catatan terpantas, Dani Pedrosa dari Honda.

Perlumbaan pembuka musim MotoGP 2018 dijadualkan di Losail pada 18 Mac ini.

Berita Harian X