Khamis, 22 Februari 2018 | 5:29pm
AKSI Hafizh mendapat pujian daripada Zarco. -Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
AKSI Hafizh mendapat pujian daripada Zarco. -Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

Hafizh pilihan terbaik: Zarco

LONDON: Penunggang Perancis, Johann Zarco jelas antara insan paling gembira apabila Monster Yamaha Tech 3 mendapatkan khidmat Hafizh Syahrin Abdullah bagi menghadapi saingan MotoGP musim ini.

Hafizh yang menunggang bersamanya ketika sesi ujian pramusim di Buriram, Thailand, minggu lalu menamatkan latihan itu yang menjadi aksi pertamanya di atas jentera MotoGP di kedudukan ke-22 terpantas daripada 24 pelumba.

Pelumba Malaysia itu hanya terjatuh sekali dan mencatatkan masa terbaik, dibezakan 1.67 saat di belakang Zarco yang merekod masa terpantas sepanjang hari terakhir ujian sebelum pelumba Honda, Dani Pedrosa memintas masanya pada saat akhir.

Hafizh adalah rakan sepasukan kelima Zarco setakat ini selepas Kohta Nozane, Broc Parkes, Michael van der Mark dan Yonny Hernandez sejak pelumba Jerman, Jonas Folger menarik diri daripada berlumba, Oktober lalu.

Sebelum meninggalkan Litar Antarabangsa Chang, Ahad lalu, ketika pasukan itu masih belum mengesahkan untuk menyenaraikan Hafizh untuk berlumba bagi musim 2018, Zarco jelas gembira dengan prestasi yang ditampilkan jaguh berusia 23 tahun itu.

"Amat gembira untuknya, saya berharap kami dapat mengekalkannya musim ini, kerana dia amat merendah diri, amat bersih dan menunggang dengan lancar," kata Zarco yang juga juara kelas Moto2 pada musim 2015 dan 2016.

"Dapat menyesuaikan diri dengan jentera bermakna dia mempunyai banyak margin untuk terus meningkat dan menjadi lebih laju.

"Ia tidak mudah, tapi ia nampak seperti jika dibandingkan dengan semua pelumba yang pasukan ada sejak musim lalu, dia satu-satunya mempunyai margin yang besar untuk meningkat. Dia masih muda dan amat merendah diri."

Semalam, pasukan satelit Yamaha, Monster Yamaha Tech 3 mengesahkan Hafizh akan berlumba bersama pasukan itu musim ini. - Agensi

Berita Harian X