Khamis, 15 Februari 2018 | 7:09pm
PELUMBA Petronas Sprinta Racing Team, Adam Norrodin melakukan sesi latihan di Sepang International Circuit, Sepang. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PELUMBA Petronas Sprinta Racing Team, Adam Norrodin melakukan sesi latihan di Sepang International Circuit, Sepang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Cuaca panas membantu - Adam

 

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin mengharapkan cuaca panas di sepanjang tiga hari ujian persendirian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dapat membantunya mencari pelarasan terbaik menjelang pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix Qatar, 18 Mac ini.

 

Mengulas mengenai hari pertama ujian hari ini, Adam yang bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing berkata, cuaca sebegini sememangnya amat baik apatah lagi selepas tidak dapat melakukan banyak catatan sepusingan ketika ujian rasmi Moto3 di Valencia minggu lalu. 

 

"Saya memang menantikan ujian di sini kerana di Valencia, masa saya di trek tidak begitu banyak susulan cuaca buruk," kata pelumba berusia 20 tahun itu. 

 

"Bagi saya, di sini (Sepang) adalah salah satu peluang yang baik terutama dengan cuacanya dan hanya kami saja melakukan ujian di sini. Ia secara tidak langsung membantu saya untuk memberi tumpuan kepada tunggangan sendiri. 

 

"Hari ini, banyak pelarasan yang dilakukan, jadi saya berharap kami dapat bersedia sebelum musim baharu bermula. 

 

"Cuaca seperti ini bagus kerana ia membolehkan kami menguji banyak perkara dan cuaca panas amat sesuai dengan jentera kami."

 

Selepas ujian persendirian di Sepang, pasukan PETRONAS Sprinta Racing dijadual berangkat ke Jerez untuk ujian rasmi Moto3 dari 6 hingga 8 Mac ini.

Berita Harian X