Khamis, 15 Februari 2018 | 4:33pm
ZULFAHMI (kanan) bersama (dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali, Ketua Jurutera SIC Racing Team Fausto Bencivenni dan Stigefelt.
ZULFAHMI (kanan) bersama (dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali, Ketua Jurutera SIC Racing Team Fausto Bencivenni dan Stigefelt.

Stigefelt yakin kemampuan Zulfahmi

SEPANG: Pengurus pasukan SIC Racing, Johan Stigefelt optimis Zulfahmi Khairuddin mempunyai kredibiliti untuk pantas menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 bagi saingan musim 2018 ini.

Bekas pelumba dari Sweden itu berkata, pengalaman selama dua tahun Zulfahmi dalam saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bakal membantu pelumba berusia 27 tahun itu untuk lebih pantas mengendali jentera Kalex.

"Sudah pasti dia mempunyai kemampuan, Zulfahmi mempunyai pengalaman dua musim di Supersports (WSBK) yang akan membantu dirinya menyesuaikan diri dengan jentera besar.

"Biarpun terdapat perbezaan dengan jentera Moto2 terutama daripada aspek tunggangan dan lebih ringan, saya rasa dia akan cepat menyesuaikan diri dengan jentera ini."

Zulfahmi dan pasukan PETRONAS Sprinta Racing disertai Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki dijadual menyertai ujian persendirian selama tiga hari di Litar Sepang bermula hari ini.

"Seperti kita tahu, Moto2 adalah kelas yang sengit dalam siri MotoGP dan kita perlu ada sasaran dan perlu berusaha keras.

"Kami ada tiga hari di Sepang (ujian persendirian) dan peluang in sesuatu yang penting untuk kemajuan Zulfahmi," kata Stigefelt.

Mengulas mengenai sasaran peribadinya terhadap Zulfahmi, Stigefelt berkata: "Sasaran awal untuknya adalah menjadi pelumba terbaik di Asia Tenggara.

"Selepas menunjukkan kemampuan, kami akan mencari penamat ke kelompok 15 terbaik. Apapun, kita tahu yang Moto2 adalah sukar dan sasaran itu perlu realistik dan harus bersabar."

Berita Harian X