Sabtu, 3 Februari 2018 | 1:22pm
PELUMBA pasukan Ducati dari Sepanyol, Jorge Lorenzo merekod masa terpantas sesi ujian rasmi di Malaysia, minggu lalu. - Foto AFP
PELUMBA pasukan Ducati dari Sepanyol, Jorge Lorenzo merekod masa terpantas sesi ujian rasmi di Malaysia, minggu lalu. - Foto AFP

Ducati berpotensi julang kejuaraan

LONDON: Ducati boleh bersaing merebut kejuaraan dunia MotoGP dengan kedua-dua penunggang, kata Pengurus Pasukan, Davide Tardozzi selepas pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo merekod masa terpantas sesi ujian rasmi di Malaysia, minggu lalu.

Penunggang Itali, Andrea Dovizioso muncul naib juara keseluruhan pada musim lalu tetapi Lorenzo yang juga juara dunia tiga kali, bergelut pada musim pertamanya apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh.

Lorenzo yang sebelum ini menghabiskan sembilan musim bersama Yamahabegitupun tampil membuktikan kemampuannya dengan merekodkan masa terpantas sepusingan jentera dua roda di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang tiga hari ujian.

"Kami gembira dengan perkara yang berlaku di garaj pasukan kami," kata Tardozzi. "Saya fikir kami boleh menjadi kompetitif untuk kejuaraan pada musim ini, dengan kedua-dua penunggang kami.

"Kedua-dua penunggang (pasukan utama) kami dan (Danilo) Petrucci (satelit) memberikan komen yang amat positif. Mereka benar-benar berpuas hati dengan penyaluran kuasa dan juga enjin baharu.

"Kami cuba untuk membuatkan enjin bertambah lancar dan kurang agresif, ia adalah sesuatu yang penunggang mahukan. Ketika musim sejuk, kami berusaha untuk melakukannya dan nampaknya kami mendapat keputusan yang diharapkan."

Lorenzo yang menjuarai kesemua gelaran dunia MotoGP bersama Yamaha berkata masih banyak ruang pembaikan yang diperlukan Ducati di sebalik prestasi yang ditampilkan di Sepang.

"Saya fikir masih ada jurang yang agak besar sebelum kami memperoleh potensi maksimum," kata Lorenzo. "Ia adalah petunjuk yang bagus kerana kami menamatkan ujian di kedudukan pertama dan masih ada yang boleh diperbaiki."

Dovizioso yang memenangi Grand Prix Malaysia tahun lalu mencatatkan masa keempat terpantas sepanjang tiga hari sesi ujian ketika juara dunia tahun lalu, Marc Marquez berada di tangga kelapan bersama jentera Honda. - Reuters

Berita Harian X