Sabtu, 25 November 2017 | 9:09pm
HUJAN lebat serta kilat menyebabkan sesi ujian kelayakan pada perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia 2017 di Litar Antarabangsa Sepang terpaksa dibatalkan. - Foto Osman Adnan
HUJAN lebat serta kilat menyebabkan sesi ujian kelayakan pada perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia 2017 di Litar Antarabangsa Sepang terpaksa dibatalkan. - Foto Osman Adnan

Sesi kelayakan MSBK dibatalkan akibat cuaca buruk

SEPANG: Sesi kelayakan tiga kelas perlumbaan dalam Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terpaksa dibatalkan susulan cuaca buruk, sebentar tadi.

Sesi kelayakan bagi kelas Superbike hanya berlangsung selama 15 minit sebelum bendera merah dikibarkan kerana hujan lebat dan petir yang membahayakan pelumba.

Biarpun sedikit terganggu namun peserta kelas Superbike yang juga pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, enggan terlalu memikirkan petak saingan yang diraihnya hari ini dan hanya mahu memberi tumpuan pada hari perlumbaan esok.

"Saya hanya mahu menikmati perlumbaan dan ini juga satu latihan kerana saya memerlukan banyak tunggangan sebagai persiapan menghadapi musim depan," kata Hafizh yang bakal memulakan saingan dari petak keenam, esok.

"Bagi saya, saya tidak terlalu memikirkan mengenai sesi kelayakan hari ini kerana apa yang penting adalah (keputusan) hari perlumbaan esok.

"Saya akan cuba buat yang terbaik sekiranya cuaca tetap sama. Apapun saya berharap cuaca kering untuk pagi esok dan kalau hujan di sebelah petang, maka kami harus mengharunginya juga."

Susulan hujan lebat itu, sesi kelayakan tiga kelas lain - Superstock, Supersport dan Terbuka 250 - akan menggunakan keputusan pada sesi latihan bebas pagi tadi sebagai penentu kedudukan grid perlumbaan esok.

Bagi kelas Superbike dan Piala KTM RC, petak perlumbaan berdasarkan keputusan sesi kelayakan sebelum saingan dihentikan.

MSBK adalah acara penutup tirai untuk perlumbaan di litar Sepang bagi tahun ini.

____________________________________________________

INFO

Jadual perlumbaan

ESOK

9.10pg-9.45pg (KTM RC) Perlumbaan 1

10.10pg-10.45pg (Superbike) Perlumbaan 1

11.10pg-11.45pg (Supersport) Perlumbaan 1

12.10tgh-12.45tgh (Superstock) Perlumbaan 1

1.10ptg-1.45ptg (Terbuka 250) Perlumbaan 1

2.10ptg-2.45ptg (KTM RC) Perlumbaan 2

3.10ptg-3.45ptg (Superbike) Perlumbaan 2

4.10ptg-4.45ptg (Supersport) Perlumbaan 2

5.10ptg-5.45ptg (Superstock) Perlumbaan 2

6.10ptg-6.45ptg (Terbuka 250) Perlumbaan 2

Berita Harian X