Khamis, 23 November 2017 | 6:55pm
PELUMBA Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin mahu kekalkan corak tunggangannya pada pusingan kemuncak Superbike Malaysia Pirelli (MSBK) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELUMBA Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin mahu kekalkan corak tunggangannya pada pusingan kemuncak Superbike Malaysia Pirelli (MSBK) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pescao tekad takluk Litar Sepang hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Pusingan kemuncak Superbike Malaysia Pirelli (MSBK) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini akan digunakan Hafizh Syahrin Abdullah sebagai medan mengekalkan corak tunggangannya sebelum musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bermula, Mac depan.

Hafizh yang sedang berehat selepas musim 2017 menutup tirainya di Grand Prix (GP) Valencia, dua minggu lalu bakal menyertai pasukan SKM Speed dan menggunakan ruang itu bagi mencabar pelumba berpengalaman dalam kelas Superbike seperti juara yang baru dinobatkan, Muhammad Farid Badrul Hisam.

Pelumba yang akan berlumba bersama pasukan baharu dalam kelas Moto2 tahun depan, PETRONAS Sprinta Racing itu berkata, dia akan cuba melakukan catatan sepusingan terbaik yang pernah direkodkan pelumba lain sebelum ini iaitu 2 minit 09 saat.

"Saya tahu tanggapan dan harapan diletakkan di bahu saya untuk saingan musim depan tinggi, jadi saya perlu bersiap sedia mengharunginya," kata Hafizh. "Jadi saya perlu mengekalkan corak tunggangan dan momentum biarpun berada di luar musim perlumbaan.

"Selain daripada berbasikal dan latihan ringan, saya akan menyertai kejohanan yang ada seperti ini sebagai landasan untuk meneruskan latihan dan cuba mengekalkan momentum tunggangan sebelum ini.

"Saya juga mahu membiasakan diri dengan jentera 1,000cc dan cuba memberi saingan kepada pelumba lain di Sepang nanti dan mencari catatan sepusingan yang terbaik."

Ini bukan kali pertama Hafizh atau dikenali sebagai Pescao menyertai kejohanan domestik di mana tahun lalu dia pernah memanaskan litar Sepang di Pusingan 4 MSBK dengan meraih tiga kemenangan daripada empat pusingan perlumbaan.

Muhammad Farid muncul juara musim 2017 selepas mengumpul 170 mata manakala pesaing terdekat yang juga juara bertahan, Rajini Krishnan dari India sudah boleh melupakan gelaran selepas hanya meraih 117 mata sebelum pusingan kemuncak 2017 itu melabuhkan tirainya.

Berita Harian X