Isnin, 30 Oktober 2017 | 10:52pm
SERAMAI 166,486 jumlah penonton hadir menyaksikan perlumbaan MotoGP sepanjang tiga hari di Litar Sepang, kelmarin. - Foto EPA-EFE

GP Malaysia rekod penonton tertinggi

KUALA LUMPUR: Penganjuran Kejohanan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilihat sebagai penganjuran paling berjaya dalam sejarah GP Motosikal Malaysia, dengan jumlah kehadiran penonton tertinggi, iaitu 166,486 orang sepanjang tiga hari.

Angka itu mengatasi rekod bagi tempoh sama pada tahun lalu - bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat dengan seramai 161,553 penonton.

Kehadiran penonton pada hari perlumbaan (Ahad) juga mengatasi rekod penganjuran sebelum ini apabila seramai 97,457 orang hadir menyaksikan perlumbaan berprestij MotoGP di SIC berbanding 95,316 pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menyifatkan peningkatan penonton yang tidak pernah gagal pada setiap tahun itu membuktikan MotoGP mempunyai peminatnya tersendiri di negara ini.

"Jumlah 97,457 penonton yang membanjiri SIC pada hari Ahad adalah satu angka yang sangat membanggakan kami.

"Persiapan untuk penganjuran F1 (Formula Satu) dan MotoGP adalah sama. Tapi oleh kerana sambutan yang sangat memberangsangkan daripada MotoGP, ia membuatkan penat lelah kami untuk persiapan perlumbaan ini sangat berbaloi.

"Penonton jelas meraih kepuasan yang dimahukan dan semua orang gembira," katanya.

Jelas Razlan, SIC tidak pernah jemu untuk mencari idea baru bagi membolehkan penganjuran MotoGP kekal diminati oleh peminat tempatan.

Selain kehadiran nama besar seperti Valentino Rossi, Marc Marquez serta Jorge Lorenzo yang beraksi dalam kelas MotoGP, pembabitan pelumba tempatan juga menjadi tarikan utama penonton untuk hadir ke litar.

Semalam, empat pelumba tempatan beraksi pada perlumbaan berprestij itu.

Mereka adalah Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Raceline Malaysia) serta Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) yang beraksi menerusi Moto2.

Adam Norrodin (SIC Racing Team) dan Kasma Daniel Kasmayuddin yang beraksi menerusi tiket wild card bersama PETRONAS Sprinta Racing, bersaing dalam kategori Moto3.

Berita Harian X