Jumaat, 27 Oktober 2017 | 9:35pm
PELUMBA SIC Racing Team, Adam Norrodin mencatat masa kedua terpantas pada sesi pertama pada sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan
PELUMBA SIC Racing Team, Adam Norrodin mencatat masa kedua terpantas pada sesi pertama pada sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

Adam tak hilang fokus

SEPANG: Penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin enggan terlalu terbawa-bawa dengan persembahan baik yang dipamerkannya pada kedua-dua sesi latihan bebas Kejuaraan Motosikal Grand Prix Malaysia, hari ini.

Selepas mencatat masa kedua terpantas pada sesi pertama yang berlangsung dalam keaadaan litar kering, keputusan yang diperoleh pelumba SIC Racing Team pada sesi kedua dalam keadaan litar basah juga boleh dianggap baik apabila menghuni tangga keenam terpantas.

Tampil mengakui keputusan positif itu menambah keyakinannya, pelumba kelahiran Johor itu begitupun berkata, keutamaannya adalah ketika pusingan kelayakan, esok bagi memburu keputusan baik di hari perlumbaan.

"Saya agak gembira dengan keputusan yang diperoleh hari ini. Kami tampak kuat dalam keadaan basah dan kering," kata Adam.

"Bagi saya ini baru hari pertama dan esok lagi penting selain perlumbaan. Saya gembira tapi kerja saya masih belum lagi selesai dan perlu terus bekerja keras.

"Sudah tentu keputusan ini memberikan saya lebih keyakinan tapi banyak lagi yang boleh saya lakukan dan saya juga berharap keadaan menjadi lebih baik bagi menghadapi sesi kelayakan esok.

"Ada beberapa perkara yang kami boleh perbaiki lagi dari sudut pelarasan jentera kerana saya turut berdepan beberapa masalah dalam kedua-dua sesi."

ADAM Norrodin gembira dengan keputusan yang diperoleh pada sesi latihan bebas pertama hari ini dan berharap keadaan menjadi lebih baik bagi menghadapi sesi kelayakan esok. - Foto Osman Adnan
ADAM Norrodin gembira dengan keputusan yang diperoleh pada sesi latihan bebas pertama hari ini dan berharap keadaan menjadi lebih baik bagi menghadapi sesi kelayakan esok. - Foto Osman Adnan

Pada sesi latihan pertama, Adam yang tahun lalu gagal menamatkan perlumbaan kerana terjatuh di awal perlumbaan melakukan catatan 2 minit 13.409 saat sebelum melakukan 2:29.655s pada sesi kedua dalam keadaan litar basah.

Seorang lagi pelumba negara dalam kelas Moto3, Kasma Danial Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Racing) yang beraksi menggunakan tiket wildcard begitupun agak bergelut.

Selepas melakukan catatan ke-29 terpantas pada sesi latihan pertama (2:16.430s), Kasma memperbaiki kedudukannya pada sesi kedua dengan melakukan catatan ke-9 terpantas tetapi turut ditimpa malang apabila terjatuh sebanyak dua kali.

Berita Harian X