Ahad, 15 Oktober 2017 | 11:56pm
PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Ramdan Rosli meraih kemenangan sulung CP150 musim 2017 di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
PELUMBA PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Ramdan Rosli meraih kemenangan sulung CP150 musim 2017 di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Masalah gear tak halang niat Ramdan

KUALA LUMPUR: Mohd Ramdan Rosli berjaya mengatasi masalah gear menjelang perlumbaan akhir untuk meraih kemenangan sulung CP150 musim 2017 pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Selepas aksi cemerlang sepanjang tiga pusingan lalu termasuk dua gelaran naib juara di Selangor (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 6), pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelut dengan masalah gear sepanjang sesi latihan yang menyaksikannya sekadar bermula dari petak kelapan.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15 minit 24.031 saat mengatasi pemenang tempat kedua Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) dengan kelebihan 0.388s.

MOHD Ramdan Rosli (kanan) bersaing dengan Md Adib Rosley pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
MOHD Ramdan Rosli (kanan) bersaing dengan Md Adib Rosley pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Md Iqbal Amri Abd Malek (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) berjaya meraih podium pertamanya selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 15:25.255s manakala pendahulu keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin terjatuh dan gagal meneruskan perlumbaan selain pencabarnya, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) turut terjatuh namun berupaya meneruskan perlumbaan namun sekadar tamat di kedudukan ke-15.

"Setiap sesi latihan saya menggunakan pelarasan yang berbeza dan sewaktu sesi superpole, saya masih gagal untuk menyesuaikan diri dengan jentera saya. Saya mengalami masalah gear pada sesi superpole dan terpaksa bermula dari petak kelapan," jelas Ramdan.

MOHD Ramdan Rosli mencium trofi kejuaraan pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
MOHD Ramdan Rosli mencium trofi kejuaraan pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

"Pada peringkat awal perlumbaan, saya tidak yakin mampu menamatkan saingan di podium. Namun selepas masuk pusingan ke-10, ditambah dengan ketiadaan rakan sepasukan, Kasma Daniel, saya berjaya berada di kelompok depan. Saya hanya mengekalkan rentak dan mencari peluang untuk memintas Adib. Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan pertama dalam karier CP150 saya."

Kemenangan itu meletakkan Ramdan di tangga keempat keseluruhan dengan 70 mata manakala Kasma kekal di tangga teratas dengan 125 mata. Ahmad Afif kedua dengan 100 mata manakala Ahmad Fazli Sham ketiga dengan 75 mata.

Berita Harian X