Ahad, 15 Oktober 2017 | 9:43pm
PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin diumumkan sebagai pemenang tempat kedua di GP San Marino. - Foto EPA

Hafizh dapat 'durian runtuh'

KUALA LUMPUR: Tuah berganda buat Hafizh Syahrin Abdullah yang meraih penamat podium keduanya musim ini di Grand Prix Jepun hari ini apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kedua di GP San Marino.

Penunggang pasukan Kiefer, Dominique Aegerter dilucutkan kemenangannya di GP San Marino bulan lalu kerana menggunakan minyak enjin tidak mengikut spesifikasi Moto2.

Ia tamparan hebat buat penunggang itu yang kali terakhir memenangi perlumbaan ialah pada tahun 2014.

Susulan keputusan itu, Thomas Luthi (CarXpert Interwetten) dinobatkan pemenang manakala Hafizh yang menduduki tempat ketiga di Misano, naik ke tangga kedua. Francesco Bagnaia (SKY Racing Team VR46) di tempat ketiga.

Ia adalah keputusan terbaik penunggang Petronas Raceline itu dalam saingan Moto2 dan bakal memberikannya suntikan semangat tambahan menjelang perlumbaan seterusnya di Phillip Island pada 20-22 Oktober ini.

Berita Harian X