Sabtu, 14 Oktober 2017 | 9:32pm
AKSI Hafizh Syahrin pada sesi kelayakan Grand Prix Jepun, dengan catatan 1:54.362 saat untuk mengisi barisan kedua sesi perlumbaan esok. - Foto AFP
AKSI Hafizh Syahrin pada sesi kelayakan Grand Prix Jepun, dengan catatan 1:54.362 saat untuk mengisi barisan kedua sesi perlumbaan esok. - Foto AFP

Hafizh bermula di barisan kedua GP Jepun

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah berada di kedudukan terbaik untuk meraih penamat podium kedua dalam saingan Moto2 musim ini apabila mencatat tempat keenam dalam sesi kelayakan Grand Prix Jepun hari ini.

Keadaan litar basah ketika sesi latihan ketiga (FP3) menepati ciri tunggangan Hafizh yang mengungguli catatan di litar Twin Ring Motegi dengan pusingan terpantas dua minit 6.163 saat.

Hafizh meneruskan rentak cemerlangnya pada sesi kelayakan dengan catatan 1:54.362 saat untuk mengisi barisan kedua sesi perlumbaan esok.

Penunggang Petronas Raceline itu meraih penamat podium pertamanya musim ini apabila menduduki tangga ketiga di GP San Marino bulan lalu.

Penunggang Idemitsu Honda Team Asia Khairul Idham Pawi sebaliknya terpaksa bermula dari belakang grid selepas mencatat keputusan ke-33 terpantas pada 2:00.099s.

Dalam saingan Moto3, Adam Norrodin bakal bermula di petak ke-13 selepas mencatat 2:10.538s dalam sesi kelayakan manakala rakan sepasukannya di SIC Racing Team, Ayumu Sasaki di petak ke ke-24 (2:11.298s).

Adam yang terbabas dalam sesi latihan kedua semalam, sekali lagi mengalami kemalangan pada sesi ketiga hari ini dan dia tidak berpuas hati dengan prestasinya pada sesi kelayakan.

"Pagi ini kami menunjukkan peningkatan dalam FP3 dan saya semakin pantas dalam setiap pusingan di minit-minit terakhir, tetapi ketika di pusingan terakhir saya cuba untuk pergi lebih pantas sehingga terbabas. Bagaimanapun saya tetap memulakan sesi kelayakan dengan penuh keyakinan," kata penunggang berusia 19 tahun itu.

"Saya bermula dengan baik dan pada satu ketika berada di tangga kelima. Kami berada dalam kelompok 10 terbaik sepanjang babak pertama sesi kelayakan. Namun akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-13, kedudukan yang kurang baik kerana kami mempunyai peluang untuk beraksi cemerlang esok.

"Saya kecewa kerana saya tahu saya mampu melakukannya dengan lebih baik, tetapi walau bagaimanapun tumpuan saya kini kepada perlumbaan."

Adam yang kini menduduki tangga ke-19 keseluruhan kejuaraan Moto3 pada 29 mata, menamatkan perlumbaan GP Aragon bulan lalu di tangga ke-15.

Berita Harian X