Selasa, 19 September 2017 | 8:37pm
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin menantikan pusingan di Aragon dan berharap dapat membantu SIC Racing Team kembali memungut mata. - Foto Osman Adnan

Moto3: Adam optimis ke Aragon

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin berharap pengalaman menguji jentera pada sesi pramusim di Litar Aragon, Sepanyol awal tahun ini, diharap dapat membantu SIC Racing Team kembali memungut mata pada hujung minggu ini.

Adam terlepas peluang menambah mata pada pusingan terakhir di Grand Prix (GP) San Marino, dua minggu lalu, kerana terjatuh ketika beraksi dalam cuaca buruk.

"Saya sangat menantikan pusingan di Aragon kerana kami sudah menguji jentera pada awal tahun ini.

"Keputusan ujian itu sangat positif dan kami memperoleh pelarasan yang baik. Sesi ujian di Aragon banyak membawa perubahan kepada kami dan ia menambahkan keyakinan saya untuk saingan hujung minggu ini," katanya.

Selepas 13 pusingan, penunggang SIC Racing Team itu menduduki tangga ke-19 senarai penunggang Moto3 dengan 28 mata.

"Saya tidak mahu insiden sama ketika di San Marino berlaku lagi. Kami mempunyai baki lima pusingan, jadi kami perlu memberi fokus sepenuhnya dan menjadi lebih kompetitif bermula dari sekarang.

"Kedudukan pungutan mata setiap pelumba juga sangat rapat, jadi kami perlu terus bersaing," katanya.

Jelas Adam, tidak banyak perubahan yang akan dilakukan terhadap jenteranya berbanding ketika di San Marino.

"Sebaliknya, saya perlu fokus kepada diri sendiri serta mendapatkan keputusan lebih baik," katanya.

Berita Harian X