Sabtu, 2 September 2017 | 10:26pm
JENTERA pelumba Perancis, Romain Grosjean diusung keluar litar selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi kelayakan GP Itali. - Foto AFP

Grosjean kemalangan, sesi kelayakan dihentikan

MONZA: Romain Grosjean mengalami kemalangan selepas jenteranya merempuh penghadang hanya lima minit selepas bermula sesi kelayakan Grand Prix Itali yang berlangsung dalam keadaan hujan, sebentar tadi.

Pelumba Perancis itu kehilangan kawalan ke atas jentera Haas ketika berada di kawasan permulaan petak, beberapa saat selepas mengadu tidak dapat melihat dengan jelas.

"Saya tidak dapat melihat ke mana saya akan pergi - ia amat berbahaya," katanya kepada radio pasukan selepas empat minit di atas litar.

Dalam beberapa saat kemudian, jenteranya terus merempuh penghadang pada kelajuan tinggi dan terbabas ke kawasan tepi litar.


GROSJEAN dibawa keluar menggunakan kereta selepas jenteranya merempuh penghadang pada sesi kelayakan di Litar Monza, GP Itali, sebentar tadi. - Foto AFP

Sebagai rekod, pada kelajuan tinggi di kawasan lurus jentera Formula Satu (F1) mampu mencapai kelajuan sehingga 320 kilometer per jam.

"F*** betul - saya sudah beritahu kamu ia amat bahaya," katanya lagi selepas itu sambil menambah ia adalah 'bodoh' untuk meneruskan sesi kelayakan dalam keadaan cuaca sebegitu.

Grosjean bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar dengan baik daripada jenteranya.

Pelumba Britain, Lewis Hamilton kekal terpantas di depan pendahulu F1 Sebastian Vettel dari Ferrari ketika sesi kelayakan itu dihentikan susulan insiden dialami Grosjean. - AFP

Berita Harian X