X
Selasa, 9 Ogos 2022 | 6:20am
Gandingan terjun campuran negara, Nur Dhabitah Sabri (kiri) dan Muhammad Syafiq Puteh meraikan kejayaan memenangi gangsa pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Pusat Akuatik Sandwell, hari ini. - Foto AP.
Gandingan terjun campuran negara, Nur Dhabitah Sabri (kiri) dan Muhammad Syafiq Puteh meraikan kejayaan memenangi gangsa pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Pusat Akuatik Sandwell, hari ini. - Foto AP.

Nur Dhabitah-Syafiq hadiah gangsa terjun campuran

BIRMINGHAM: Skuad terjun negara menamatkan saingan pada Sukan Komanwel 2022 dengan meraih satu pingat gangsa dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran, di sini, hari ini.

Gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Syafiq Puteh menghadiahkan pingat dalam acara itu yang pertama kali dipertandingkan pada Sukan Komanwel apabila menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 299.04 mata selepas melakukan lima terjunan di Pusat Akuatik Sandwell.

Pingat emas acara berkenaan menjadi milik pasangan Scotland, James Philip Heatly-Grace Elizabeth Reid, yang mengumpul 306.00 mata mankala perak dimenangi wakil Australia, Li Shixin-Maddison Keeney setelah mengutip 304.02 mata.

Satu lagi pasangan Malaysia, Gabriel Gilbert Daim-Wendy Ng Yan Yee menduduki tempat ketujuh dengan meraih 273.06 mata.

Kejayaan meraih gangsa itu adalah pingat ketiga buat Nur Dhabitah pada edisi Birmingam ini, selepas memenangi dua perak dalam acara 3m papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee.

Pingat gangsa dimenangi hari ini, pula adalah kedua buat Muhammad Syafiq selepas meraih perak dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Gabriel Gilbert Daim.

Namun, pencapaian skuad terjun dengan meraih keseluruhan tiga perak dan satu gangsa disifatkan mengecewakan selepas acara terjun disasarkan menyumbangkan satu emas kepada kontinjen negara pada temasya kali ini.

Ketika ditemui pemberita, Nur Dhabitah berkata, beliau sangat berpuas hati dengan prestasinya di sini walaupun terlepas peluang menyumbangkan emas kepada negara.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian di sini selepas tiga hari berturut-turut beraksi di final. Pada hari ini, saya cuba melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah kami berjaya meraih pingat (gangsa)," katanya.

Beliau berkata selepas temasya di Birmingham, tumpuan mereka adalah bagi menghadapi Kejohanan Grand Prix FINA 2023 di Bukit Jalil, pada November ini.

Muhammad Syafiq berkata beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian meraih pingat gangsa itu selepas hanya sekali berkesempatan menjalani latihan bersama Nur Dhabitah dalam acara itu sebelum tiba di sini.

"Seminggu di sini, kami tidak berpeluang menjadi latihan bersama kerana jadual acara yang padat. Alhamdulillah, memang rezeki kami menang gangsa hari ini," katanya.

Sementara itu, gandingan Datuk Pandelela Rinong-Jellson Jabillin gagal menghadiahkan pingat buat kem negara apabila menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama campuran setelah mengumpul 302.82 mata.

Penerjun England, Noah Oliver Williams-Andrea Spendolini Sirieix memenangi pingat emas selepas mengutip 333.06 mata, mengatasi rakan senegara, Kyle Kothari-Lois Mae Toulson (318.54) di tempat kedua, manakala gangsa diraih wakil Australia, Cassiel Emmanuel Rousseau-Emily Ann Boyd (309.60).

- BERNAMA

Berita Harian X