Ahad, 7 Ogos 2022 | 4:18pm
Penerjun lelaki negara Ooi Tze Liang melakukan aksi terjunan dalam acara 3m papan anjal individu lelaki akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Sandwell Aquatics Centre, semalam. - Foto BERNAMA
Penerjun lelaki negara Ooi Tze Liang melakukan aksi terjunan dalam acara 3m papan anjal individu lelaki akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Sandwell Aquatics Centre, semalam. - Foto BERNAMA

Tze Liang pulang tangan kosong

BIRMINGHAM: Penerjun negara, Ooi Tze Liang meninggalkan temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, dengan tangan kosong selepas gagal mempamerkan persembahan cemerlang dalam dua acara disertainya.

Ini adalah kali ketiga dia menerima nasib serupa selepas temasya di New Delhi 2010 dan Gold Coast pada 2018. Sebelum itu, di Glasgow 2014, dia mencipta sensasi apabila meraih satu emas dan satu perak.

Dalam acara kegemarannya iaitu 3 meter (m) papan anjal individu semalam, dia hanya mampu menduduki tangga ketujuh pada aksi final daripada lapan peserta.

Dia mengumpulkan 427.70 mata, tatkala tiga wakil England iaitu Daniel Goodfellow (484.45 mata), Jordan Houlden (465.15) dan Jack David Laugher (462.30) menyapu bersih semua pingat dipertandingkan.

Sebelum itu, dalam acara 3 meter papan anjal seirama, dia yang bergandingan dengan Chew Yiwei menduduki tempat kelima atau terakhir.

"Dari segi persembahan, saya tetap berpuas hati. Cuma sayang saya tak dapat naik podium. Harap dalam kejohanan akan datang, rezeki saya lebih baik," katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Sandwell, di sini.

Tze Liang, 28, berkata temasya Sukan Komanwel kali ini adalah penyertaan terakhirnya.

Katanya, selepas ini dia akan menumpukan kepada usaha untuk layak Sukan Olimpik 2024 selain menyertai Sukan Asia 2021 yang tertangguh sebelum ini.

Berita Harian X