Isnin, 1 Ogos 2022 | 7:39pm
Fraidden menjadi perenang pertama menghadiahkan emas dalam acara 400m gaya bebas S10 dengan catatan terbaik 4 minit 58.540s pada Sukan Para ASEAN Solo 2022. - Foto MSN
Fraidden menjadi perenang pertama menghadiahkan emas dalam acara 400m gaya bebas S10 dengan catatan terbaik 4 minit 58.540s pada Sukan Para ASEAN Solo 2022. - Foto MSN

Atlet para negara cemerlang di kolam renang

KUALA LUMPUR: Pasukan para renang negara 'mengaum' di Pusat Renang Jatidiri yang menjadi venue bagi Sukan Para ASEAN Solo 2022 dengan membolot enam pingat emas daripada lapan acara disertai hari ini.

Fraidden Dawan menjadi perenang pertama menghadiahkan emas di venue itu dalam acara 400 meter (m) gaya bebas S10 dengan catatan terbaik 4 minit 58.540 saat (s) meninggalkan pencabar terdekat dari Vietnam, Quang Gon Truong, 16.030s.

Gon Truong membawa pulang perak, manakala atlet Win Soe melengkapkan podium di tempat ketiga untuk meraih gangsa, 5:29.300s.

Mohd Adib Iqbal Abdullah 'menyahut' cabaran emas Fraidden dengan menjelmakan kilauan pingat sama dalam acara 100m kuak dada SB14, menewaskan atlet Thailand, Master Parami Chaysri.

Adib melengkapkan saingan dengan catatan 1:10.870 saat, manakala Master ketinggalan 10.869s di belakang untuk meraih perak pada perlumbaan yang menyaksikan hanya dua peserta menyertainya.

Emas ketiga skuad terjun diraih Abd Halim Mohammad dalam acara 100m kuak dada SB8 yang mencatat 1:18.610s, menewaskan atlet tuan rumah, Guntur Guntur (1:23.880s).

Atlet Vietnam, Quang Vuong Nguyen meraih gangsa, 1:28.260s.

Carmen Lim memenangi acara 100m kuak dada wanita dalam kategori SB8 (1:43.640s), manakala Nor Aimah dari Indonesia meraih perak (1:50.550s) dan Thi My Le Hoang dari Vietnam membawa pulang gangsa (1:51,560s).

Selain itu, Carmen turut meraih perak dalam acara 100m gaya bebas wanita S8 selepas ketinggalan 8.010s daripada pemenang emas Vietnam, Thi Dung Le yang melengkapkan saingan dengan catatan terpantas, 1:19.920s.

Muhd Iman Aiman Muhd Redzuan meraih emas kelima skuad renang menerusi acara 50m kuak lentang S14 dengan catatan 29.279s.

Dia menewaskan atlet Thailand, Chuvong Jirachot (32.370s) manakala gangsa menjadi milik wakil tuan rumah, Fathur Rizky Moreno (32.510s).

Melengkapkan emas keenam skuad renang adalah Brenda Anellia Larry yang memenangi acara 50m kuak lentang S4, melengkapkan saingan dengan catatan terpantas 1:06.850s.

Berita Harian X