Ahad, 31 Julai 2022 | 6:49pm
Tze Liang akan tampil kali terakhir di Sukan Komanwel. - @AtletMalaysia Twitter pic
Tze Liang akan tampil kali terakhir di Sukan Komanwel. - @AtletMalaysia Twitter pic

Misi terakhir Tze Liang

KUALA LUMPUR: Penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang berharap penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 mampu menghadirkan pengakhiran yang positif sebagai tanda 'perpisahan' dengan temasya kedua terbesar dunia itu yang berlangsung empat tahun sekali.

Atlet berusia 28 tahun itu, berkata dia mahu menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding edisi 2018 di Gold Coast yang menyaksikan dia pulang dengan tangan kosong.

"Selepas empat tahun menunggu (untuk Sukan Komanwel), saya harap kali ini dapat meraih pencapaian yang lebih baik berbanding edisi terakhir sebelum ini (di Gold Coast).

"Sukan Komanwel kali ini akan menjadi penampilan keempat dan yang terakhir untuk saya. Umur saya pun sudah 28 tahun, jadi saya mahu 'move on' selepas ini.

"Saya harap boleh menikmati terjunan saya dan cuba terjemahkan apa yang saya berlatih selama ini," katanya.

Di Gold Coast, Tze Liang gagal mempertahankan emas dimenanginya dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu pada edisi 2014 di Glasgow selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-10.

Dia yang ketika itu turut beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama bersama gandingannya Chew Yiwei terlepas untuk menaiki podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Pada edisi 2014, Tze Liang turut berjaya memenangi perak dalam acara 10m platform individu tetapi tidak menyertai acara berkenaan di Gold Coast dengan cabaran Malaysia digalas Yiwei yang menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.

Di Birmingham kali ini, dia sekali lagi akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu dan seirama bersama Yiwei.

Acara terjun akan membuka tirai saingannya pada Khamis di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham.

Berita Harian X