X
Sabtu, 2 Julai 2022 | 12:36pm
Gandingan Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri meraih gangsa acara 10m platform terjun seirama wanita di Kejohanan Dunia di Budapest. - Foto REUTERS
Gandingan Datuk Pandelela Rinong (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri meraih gangsa acara 10m platform terjun seirama wanita di Kejohanan Dunia di Budapest. - Foto REUTERS

Jadikan kejayaan Pandelela-Nur Dhabitah pembakar semangat - FOWCUS

KUALA LUMPUR: Yayasan Komuniti Wanita Dalam Sukan Malaysia (FOWCUS) berharap kejayaan gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2022, menjadi pembakar semangat untuk atlet wanita Malaysia yang lain melakar kecemerlangan sama.

Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kejayaan gandingan Pandelela-Nur Dhabitah membuktikan bahawa golongan wanita Malaysia juga boleh memberikan sumbangan yang besar buat negara.

Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto REUTERS
Datuk Zuraida Kamaruddin. - Foto REUTERS

"Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Pandelela dan Nur Dhabitah yang berjaya memenangi pingat gangsa acara 10 meter platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2022 di Budapest, Hungary, lewat malam Khamis lalu.

"Saya dan FOWCUS mengagumi Datuk Pandelela yang memenangi dua pingat gangsa dalam edisi kali ini selepas terdahulu memenanginya dalam acara 10m platform individu. Kejayaan ini bukan datang bergolek, sebaliknya atas pengorbanan dan usaha yang tidak henti-henti.

"Beliau mula mewakili negara ke Sukan Olimpik sejak usia 15 tahun dan berkat kerja kerasnya, Datuk Pandelela berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemenang pingat Olimpik dan wanita pertama yang menyumbang pingat dari Sukan Olimpik untuk negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikon terjun negara ini telah merangkul puluhan pingat sejak kemunculan pertamanya di pentas sukan antarabangsa pada 2007 ketika berusia 14 tahun. Aksi cemerlangnya tidak dinafikan lagi apabila memenangi dua pingat dari Olimpik dan tujuh dari kejohanan dunia, tidak termasuk dua kejayaan di Hungary.

Zuraida turut menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seorang lagi Nur Dhabitah, atlet wanita sedang meningkat naik yang menjadi pasangan Pandelela untuk acara di Budapest bagi membawa pulang pingat sulung buat beliau dari kejohanan akuatik dunia.

"Semoga kejayaan memenangi pingat pada kejohanan dunia ini menjadi pembakar semangat buat mereka untuk memenangi lebih banyak lagi pingat pada kejohanan-kejohanan lain di masa akan datang di samping menaikkan lagi martabat wanita dalam sukan di negara ini.

"Selamat maju jaya buat Datuk Pandelela, Nur Dhabitah dan seorang lagi atlet terjun wanita negara, Ng Yan Yee serta semua atlet wanita kita yang berjuang untuk negara tercinta," katanya.

Berita Harian X