Jumaat, 1 Julai 2022 | 9:32am
Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri (kiri) memenangi pingat pertamanya di Kejohanan Dunia dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama gandingannya, Datuk Pandelela Rinong. - Foto REUTERS
Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri (kiri) memenangi pingat pertamanya di Kejohanan Dunia dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama gandingannya, Datuk Pandelela Rinong. - Foto REUTERS

Rasa bagai mimpi - Dhabitah

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri menyifatkan impiannya menjadi kenyataan selepas berjaya memenangi pingat pertamanya di Kejohanan Dunia dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama gandingannya, Datuk Pandelela Rinong, lewat malam tadi.

Aksi yang berlangsung di Budapest, Hungary itu menyaksikan Dhabitah dan Pandelela meraih gangsa selepas mengutip keseluruhan 298.68 mata manakala pasangan China Chen Yuxi dan Quan Hongchan menepati ramalan apabila memenangi emas dengan catatan 368.40 mata.

Pasangan dari Amerika Syarikat, Delaney Schnelle dan Katrina Young mengutip 299.40 mata untuk meraih perak.

"Masih rasa bagai mimpi apabila berjaya memenangi pingat pertama saya di Kejohanan Dunia. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai rakan gandingan yang baik untuk membantu saya mengharungi saingan dalam acara ini.

"Saya juga tidak boleh melakukannya tanpa bimbingan jurulatih selain pasukan sokongan yang memberi sokongan padu di venue pertandingan dan penyokong yang menakjubkan di tanah air," kata Dhabitah menerusi laman Instagram miliknya.

Sebagai rekod, ia adalah pingat pertama untuk kerjaya Dhabitah di Kejohanan Dunia selepas gagal menaiki podium dalam tiga edisi terdahulu pada 2015, 2017 dan 2019.

Bagi Pandelela, ia adalah gangsa kedua peribadinya pada edisi kali ini selepas turut memenanginya dalam acara 10m platform individu Selasa lalu.

Ini adalah kejayaan podium ketiga buat gandingan Dhabitah-Pandelela selepas memenangi gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan emas Sukan SEA Hanoi 2021.

Berita Harian X