X
Rabu, 29 Jun 2022 | 8:30pm
Aksi Pandelela dan Dhabitah ketika raih emas di Sukan SEA Hanoi bulan lalu.
Aksi Pandelela dan Dhabitah ketika raih emas di Sukan SEA Hanoi bulan lalu.

Peluang Pandelela-Dhabitah raih pingat cerah

KUALA LUMPUR: Penolong jurulatih skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee optimis gandingan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri berpeluang menaiki pentas podium pada saingan 10 meter (m) platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia 2022 di Budapest, Hungary esok.

Semalam, Pandelela berjaya meraih gangsa dalam acara 10m platform individu wanita, kilauan pingat sama yang pernah diraihnya di Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, Russia sekali gus memperbaiki kedudukan kelima di Gwangju, Korea Selatan 2019.

Pencapaian diraih Pandelela itu secara tidak langsung memberi gambaran yang gandingan penerjun dari Sarawak dan Nur Dhabitah nanti turut mempunyai peluang untuk menjelmakan pingat buat negara.

Atlet berusia 29 tahun itu mengumpul 338.85 mata dalam keseluruhan lima terjunan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Chen Yuxi dari China meraih emas dengan 417.25 mata manakala rakan senegara yang meraih emas di temasya sama, Quan Hongchan membawa pulang perak, 416.95 mata.

"Prestasi dipamerkan Pandelela OK. Ada dua terjunan yang bagus, tiga lagi konsisten dan tidak ada kesilapan besar dilakukan," kata Mun Yee yang sebelum ini bergandingan bersama Pandelela ketika meraih perak dalam acara 10m platform seirama wanita di Kejohanan Dunia Gwangju 2019.

"Untuk acara 10m seirama, kalau mereka melakukan dengan bagus dan konsisten, saya rasa peluang itu ada untuk ke podium," kata Mun Yee dilantik sebagai penolong jurulatih sekitar awal tahun ini.

Awal pagi tadi, dalam acara 10m platform seirama lelaki disertai Hanis Jaya Surya-Jellson Jabillin, menamatkan saingan dengan berada di tangga ke-11 daripada 12 keseluruhan.

Jaya Surya-Jellson mengumpul 322.35 mata manakala emas menjadi milik gandingan China, Hao Yang-Junjie Lian, 467.79 mata.

Perak diraih gandingan Great Britain, Matthew Lee-Noah Williams dengan kutipan 427.71 mata.

Gandingan Kanada, Rylan Wiens-Nathan Zsombor Murray melengkapkan pentas podium dengan meraih gangsa apabila mengumpul 417.12 mata.

Berita Harian X