Sabtu, 25 Jun 2022 | 7:11pm
Mohd Rashidi antara empat jurulatih skuad sepak takraw yang dikekalkan bagi bentuk pasukan hadapi Piala Raja Thai bulan depan.
Mohd Rashidi antara empat jurulatih skuad sepak takraw yang dikekalkan bagi bentuk pasukan hadapi Piala Raja Thai bulan depan.

4 jurulatih sepak takraw dikekalkan

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengekalkan empat jurulatih sebelum ini bagi membimbing skuad sepak takraw negara menghadapi saingan Piala Raja Thai di Bangkok yang akan berlangsung dari 24 hingga 31 Julai depan.

Mereka ialah Mohd Rashidi Nordin dan Ahmad Supian Napiah yang memikul tanggungjawab bagi membimbing skuad lelaki manakala Ahmad Mohd Zin dan Sofix Nadzri mengendalikan skuad wanita.

MSN dalam satu kenyataan, berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), semalam selepas badan induk itu menerima jemputan untuk menyertai kejohanan berkenaan sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

"Mesyuarat JKK bersetuju untuk menghantar seramai 12 pemain yang membentuk skuad lelaki negara bagi menyertai acara regu, berpasukan regu dan beregu.

"Seramai enam pemain wanita pula turut disenaraikan untuk acara regu, quadrant dan beregu. Kesemua yang terpilih ini adalah pemain-pemain dalam program latihan sepenuh masa kendalian MSN," kata kenyataan itu.

Berita Harian X