Ahad, 12 Jun 2022 | 6:08pm
Gambar fail - Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Gambar fail - Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

PSM beri laluan MSC kendali skuad ke Thailand

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi laluan kepada Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mengendalikan pasukan negara bagi menghadapi Kejohanan Piala Raja Thailand yang akan berlangsung 24 hingga 31 Julai ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya tiada halangan berhubung perkara itu memandangkan badan induk berkenaan tidak diiktiraf oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

"Memang MSC yang sepatutnya bawa memandangkan setakat ini ASTAF tidak mengiktiraf PSM. Jadi, saya menghormati apa jua keputusan kerana apa yang penting ia adalah atas kapasiti negara.

"Kami tidak pernah menghalang atau menyekat mana-mana pemain untuk mewakili negara. Namun, itu semua terpulang kepada pemain dan jurulatih untuk memutuskannya," kata Sumali selepas majlis penutup Bengkel Pembanguan Sepak Takraw Malaysia anjuran PSM di sini, hari ini.

Sukan sepak takraw negara ketika ini mempunyai dua badan induk dengan PSM sudah disingkirkan oleh ASTAF pada Mei tahun lalu sebelum tindakan sama dibuat Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Mac lalu.

Ketika ini, ASTAF dan ISTAF hanya mengiktiraf MSC yang diterajui Datuk Suhaili Abdul Rahman selaku presiden badan induk itu.

Mana-mana negara yang ingin menyertai kejohanan antarabangsa di bawah kelolaan ASTAF atau ISTAF perlulah melalui persatuan sukan kebangsaan yang diiktiraf kedua-dua badan induk berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai bengkel pembangunan sepak takraw yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, Sumali berkata ia adalah usaha bagi membangunkan sukan berkenaan bermula di peringkat akar umbi.

Katanya, bengkel berkenaan membabitkan pelbagai pihak antaranya bekas pemain kebangsaan, bekas jurulatih kebangsaan, guru sekolah, bekas pengetua sekolah sukan, wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Menerusi bengkel ini kita mengumpul semua idea dan cadangan untuk pelan jangka pendek dan panjang yang mana ia akan dibukukan untuk menjadi resolusi untuk kita mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X