Khamis, 9 Jun 2022 | 7:00pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan sijil penyertaan kepada penerima ketika Pelancaran Detik 100 hari Sukan Malaysia 2022 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan sijil penyertaan kepada penerima ketika Pelancaran Detik 100 hari Sukan Malaysia 2022 di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Peluang atlet SUKMA rebut tiket ke Kemboja

PUTRAJAYA: Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang dijadual berlangsung, September depan dianggap peluang buat atlet muda untuk menyerlahkan potensi mereka bagi dipilih mewakili negara ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata atlet muda akan terus diberikan peluang untuk membawa cabaran negara di pentas antarabangsa selepas terbukti menerusi keputusan membanggakan yang dihasilkan ketika Sukan SEA Hanoi di Vietnam baru-baru ini apabila berjaya menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Katanya, SUKMA kali ini juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada persiapan kontinjen negara bagi menghadapi temasya di Kemboja.

"Tentu sekali kerana kita sedar dalam kalangan atlet dahagakan pertandingan seperti kejohanan besar. Walaupun kita menyenaraikan atlet muda di Vietnam mereka tetap mampu memberi saingan sengit kepada lawan.

"Jika melihat keadaan sekarang dengan persediaan dalam tempoh 10 bulan (temasya Sukan SEA Kemboja) menyaksikan cukup penting kita melakukan persiapan rapi," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Detik 100 Hari SUKMA MSN 2022 di sini, hari ini.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga produk daripada SUKMA diberi penghormatan menekan butang pelancaran sebagai simbolik 100 hari menjelang SUKMA 2022 bersama tiga atlet negara yang lain iaitu S Sivasangari (skuasy), Jonathan Wong (menembak) dan Azreen Nabila Alias (olahraga).

Penganjuran SUKMA kali ini menyaksikan 31 jenis sukan membabitkan 445 acara dipertandingkan.

Ahmad Faizal berkata, penganjuran temasya itu akan disertai hampir 10,000 atlet dan pegawai dengan venue pertandingan di sekitar Lembah Klang.

"Temasya kali ini menyaksikan penyertaan atlet di bawah usia 23 tahun, iaitu kebenaran khas hanya untuk kali ini mengambil kira atlet sudah mengadakan persiapan sejak sekian lama untuk temasya SUKMA yang sepatutnya dianjurkan pada 2020.

"Pada temasya kali ini juga menyaksikan minimum jumlah penyertaan untuk setiap acara adalah membabitkan enam negeri berbanding syarat sebelum ini adalah lapan negeri.

"Oleh sebab itu, saya sarankan persatuan sukan negeri utamakan pembangunan atlet sebagai persediaan menyertai kejohanan seumpama ini.

"Pada masa sama, tidak akan meminggirkan atlet senior kerana mereka juga memerlukan penyertaan ke kejohanan besar untuk mengekalkan prestasi," katanya.

Berita Harian X