Selasa, 7 Jun 2022 | 8:00pm
Norza (dua dari kanan) menerima buku laporan daripada ketua kontinjen Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Moira Tan Siew See (dua dari kiri) selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM. Hadir sama Timbalan Presiden MOM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan Setiausaha MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
Norza (dua dari kanan) menerima buku laporan daripada ketua kontinjen Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Moira Tan Siew See (dua dari kiri) selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM. Hadir sama Timbalan Presiden MOM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan Setiausaha MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Sukan SEA 2027 di luar Kuala Lumpur?

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terbuka dengan idea penganjuran secara bersama dengan negeri-negeri yang berminat pada Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

Bagaimanapun, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata perkara itu masih tertakluk kepada perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Menerusi perbincangan itu nanti, kita akan melihat konsep (penganjuran) kita kali ini.

"Adakah kita akan mengadakan di Kuala Lumpur atau dipindahkan ke negeri-negeri yang mungkin sanggup untuk menjadi tuan rumah secara bersama contohnya," kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, hari ini.

Pada 12 Mei lalu, mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah temasya itu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Pada 1965 dan 1971 temasya itu dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) dan hanya pada 1977 ia dikenali sebagai Sukan SEA.

Mengulas lanjut, Norza, berkata satu lagi faktor yang perlu diberi penekanan dalam penganjuran kali ini adalah persiapan kontinjen negara bagi menghasilkan keputusan terbaik pada temasya dwitahunan berkenaan.

"Kita juga harus melihat sekiranya kita menjadi hos adakah kita bersedia untuk meletakkan satu kontinjen yang akan dapat memberi prestasi baik ketika ia berlangsung. Sebab itu, perancangan perlu diadakan lebih awal lagi.

"Apabila kita memohon untuk menjadi hos, kita diterima sebulat suara adalah kerana kita dikenali sebagai hos yang baik, dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai hos dengan baik.

"Namun, kali ini adakah kita dapat menyediakan satu kontinjen yang dapat membawa keputusan yang baik untuk negara. Ini semua perkara yang perlu dibincangkan dengan teliti," katanya.

Ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2001 dan 2017, Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan.

Edisi 2001 yang turut diadakan di luar Kuala Lumpur menyaksikan kontinjen negara meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa manakala 2017 145 emas, 90 perak dan 86 gangsa.

Berita Harian X