Selasa, 31 Mei 2022 | 4:53pm

Malaysia mampu tuan rumah terbaik Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan keyakinan penuh negara ini mampu menjadi tuan rumah terbaik temasya Sukan SEA pada tahun 2027.

Beliau percaya akan kemampuan negara untuk menganjurkannya berdasarkan pengalaman negara dalam penganjuran temasya besar sebelum ini meskipun kerajaan masih belum berbincang mengenainya lagi.

"Perkara itu akan dibuat dan jarak masanya juga masih panjang," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi tetamu khas. Hadir sama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kehadiran ketiga-tiga nama besar ini dilihat seperti 'alumni Menteri Belia dan Sukan' dengan Ismail pernah memegang jawatan itu dari 2008 hingga 2009 manakala Hishammuddin pula dari 1999 hingga 2004 dan Syed Saddiq pula dari 2018 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata: "Dalam masa sama, saya yakin kita mempunyai fasiliti mencukupi. Kita yakin yang Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA dan kita sudah berjaya melakukannya dengan terbaik sebelum ini.

"Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang berjaya menganjurkan sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998. Tentunya pada 2027, apabila kita menjadi tuan rumah Sukan SEA sekali lagi, kita akan berikan yang terbaik.

"Saya amat berbangga sebenarnya kerana pusingan untuk menjadi tuan rumah ini biasanya mengambil masa lama tetapi kita tak begitu dan ini bermakna negara ASEAN kagum dan yakin dengan kebolehan rakyat Malaysia untuk anjurkan Sukan SEA."

Sebelum ini, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu untuk edisi ke-34 pada 2027 - kurang lima tahun daripada sekarang.

Ini kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).

SEAGF turut memilih Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke-35 (2029) yang juga buat kali kelima bagi negara jiran tetangga itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kana) beramah mesra bersama tetamu pada sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kana) beramah mesra bersama tetamu pada sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Berita Harian X