Ahad, 29 Mei 2022 | 6:09pm
Tian Hock (berkot) ketika majlis penyampaian insentif kepada pemain wanita yang meraih gangsa di Sukan SEA Hanoi.
Tian Hock (berkot) ketika majlis penyampaian insentif kepada pemain wanita yang meraih gangsa di Sukan SEA Hanoi.

MABA pula mahu ambil pemain naturalisasi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sedang mengenal pasti beberapa pemain naturalisasi untuk memperkuatkan skuad lelaki dan wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock percaya jika perkara itu mendapat kelulusan kerajaan, skuad negara mampu melakar pencapaian yang lebih baik berbanding Sukan SEA Hanoi yang menyaksikan hanya satu gangsa di bawa pulang menerusi acara 5x5 wanita.

"Di Sukan SEA Hanoi, kita kalah bukan disebabkan kita tidak melawan tetapi seperti semua tahu faktor saiz fizikal dalam bola keranjang adalah sangat mustahak. Beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia semuanya memiliki pemain naturalisasi yang mempunyai ketinggian lebih 6 kaki.

"Jadi, untuk bertanding dengan mereka, kita juga perlu ada satu atau dua pemain naturalisasi dalam pasukan. Untuk pasukan lelaki, kita sudah ada seorang pemain dari Afrika yang mempunyai ketinggian 6 kaki 11 inci dan akan datang pada minggu depan.

"Dia bermain dalam saingan bola keranjang Filipina. Kami sudah tengok dia bermain dan dari segi kemahiran tiada masalah… cuma, kami perlu melakukan ujian ke atas dirinya kerana kami tidak mahu mengambil pemain yang menghadapi masalah kecederaan.

"Untuk pasukan wanita pula, kita sedang kenal pasti. Bagaimanapun, semua ini tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan. "Saya sudah berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bersetuju untuk membawa perkara ini kepada kabinet," katanya.

Berbeza dengan bola sepak, Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) membenarkan terus pemain naturalisasi untuk beraksi tanpa perlu menunggu tempoh lima tahun beraksi dalam saingan tempatan dengan syarat mendapat lampu hijau kerakyatan baharu dari kerajaan.

Pada masa sama, Tian Hock menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan tanggungjawab bagi melaksanakan program pembangunan sekali pun dengan kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad negara.

"Saya tidak kata pemain naturalisasi adalah jawapan kepada permasalahan skuad negara ketika ini tetapi ia sebagai salah satu penyelesaian untuk kita membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi dalam masa terdekat.

"Fokus utama kita tetap mahu bangunkan pemain tempatan. Kita ada pemain tempatan yang mempunyai kemahiran tetapi tidak cukup dengan hanya satu atau dua pemain," katanya.

Berita Harian X