Ahad, 29 Mei 2022 | 5:53pm
Regu pasukan Awan Merah dari Selangor disertai tekong wanita ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur dalam Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Negeri Sembilan 2022 hari ini.
Regu pasukan Awan Merah dari Selangor disertai tekong wanita ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur dalam Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Negeri Sembilan 2022 hari ini.

'Bebas buat pilihan sertai acara campuran'

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menegaskan setiap ahli gabungan badan induk itu bebas untuk membuat pilihan sama ada untuk menyertai acara campuran atau tidak pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 yang akan berlangsung dari 23 hingga 31 Julai ini.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, beliau tidak akan mempertikaikan batasan agama yang ditimbulkan seorang pejuang parti politik di Malaysia berkaitan pergaulan lelaki dan wanita kerana menyedari sensitivitinya.

"Pengenalan acara campuran ini sebenarnya sudah dimaklumkan kepada semua negara ahli gabungan ISTAF beberapa bulan lalu (sebelum Sukan SEA Hanoi).

"Mereka termasuk negara Islam seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Iran, Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta Oman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Faizuddin Zai pada 25 Mei lalu, menggesa pasukan negara memulaukan Piala Raja Thailand jika acara campuran turut dipertandingkan.

"Pemuda PAS berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan acara ini yang tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan sepak takraw," katanya dalam laporan sebuah portal media online.

Halim berkata, ISTAF memberi kebebasan kepada ahli gabungannya memilih untuk menyertai sama ada acara beregu (double) campuran atau kuadran (berempat) campuran dan tidak boleh kedua-duanya dalam Piala Raja Thailand di Bangkok.

"Jika mereka kekurangan pemain atau beranggapan tidak mampu bersaing dalam acara itu, penganjur Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) menawarkan lima lagi acara kategori lelaki dan wanita iaitu regu berpasukan, antara regu, beregu, kuadran dan gelung untuk mereka sertai," katanya.

Beliau berkata ,ISTAF yakin pengenalan acara regu campuran sepak takraw akan mendapat sambutan dari negara anggota badan induk itu dan ia tidak langsung membabitkan sentuhan fizikal pemain malahan kelonggaran untuk menutup aurat bagi wanita tetap diberi keutamaan.

Katanya, ISTAF sentiasa memandang ke hadapan untuk mempertingkatkan mutu acara yang akan dipertandingkan tanpa mengorbankan batasan nilai dan budaya agar sepak takraw mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi serta gagah seperti sukan lain yang telah diterima di Sukan Olimpik.

"Untuk makluman, ISTAF sedang dalam usaha untuk membawa sepak takraw ke Sukan Olimpik dengan bantuan semua negara anggota termasuk Malaysia.

"Selaras dengan perkembangan dan program pembangunan sukan lain yang telah bertapak di Sukan Olimpik, ISTAF juga perlu bersifat proaktif mempelbagaikan acara sepak takraw agar bersifat universal membabitkan atlet lelaki dan wanita," katanya.

Berita Harian X