Sabtu, 28 Mei 2022 | 6:07pm
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock (berkot) menyampaikan insentif kepada skuad wanita yang raih gangsa di Sukan SEA Hanoi.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock (berkot) menyampaikan insentif kepada skuad wanita yang raih gangsa di Sukan SEA Hanoi.

Raih gangsa dapat RM10,000 seorang

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock mengotakan janjinya apabila menyampaikan insentif kemenangan kepada skuad 5x5 wanita negara yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi.

Pada majlis yang berlangsung di Wisma MABA, hari ini menyaksikan setiap pemain menerima wang tunai sebanyak RM10,000 manakala dua orang jurulatih masing-masing mendapat RM15,000 seorang.

Tian Hock ketika ditemui media, berharap insentif berkenaan dapat menyuntik semangat barisan pemain negara untuk terus bekerja keras terutama dalam persiapan menghadapi Sukan SEA kemboja tahun dengan sasaran untuk meraih pencapaian lebih baik berbanding di Hanoi.

"Pada 1 Mei yang lalu, saya sudah berjanji akan memberikan insentif kepada pemain, jika berjaya menang emas setiap seorang akan dapat RM50,000, perak RM20,000 dan gangsa RM10,000.

"Ketika itu sasaran kita adalah satu perak dan dua gangsa tetapi kita hanya dapat bawa pulang satu gangsa kali ini. Saya tidak menganggap ini sebagai satu kegagalan kerana semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain sangat memuaskan.

"Kita kalah bukan disebabkan kita tidak melawan tetapi seperti semua tahu faktor saiz fizikal adalah sangat mustahak. Beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia semuanya memiliki pemain naturalisasi.

"Jadi, ini adalah sesuatu yang kita sedang usahakan untuk pasukan negara," katanya.

Di Hanoi, emas acara 5x5 wanita dimenangi Filipina manakala Indonesia meraih perak dan Malaysia gangsa.

Berita Harian X