Sabtu, 21 Mei 2022 | 7:12pm
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader (kanan) beberbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) ketika hadir menyaksikan acara sepak takraw Sukan SEA 2021 di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi, semalam. - Foto BERNAMA.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader (kanan) beberbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) ketika hadir menyaksikan acara sepak takraw Sukan SEA 2021 di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi, semalam. - Foto BERNAMA.

ISTAF perkenal regu campuran 1 lelaki, 2 wanita

HANOI: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) menetapkan acara baharu campuran akan membabitkan seorang pemain lelaki dan dua wanita bagi antara regu, manakala jantina dua pemain simpanan acara itu bergantung kepada strategi jurulatih masing-masing

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata acara baharu campuran antara regu itu akan diperkenalkan pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai ini.

Katanya, pemain lelaki dan wanita bebas bermain di posisi pilihan masing-masing dalam acara antara regu sama ada tekong, apit kanan atau apit kiri.

"Tiada larangan tertentu untuk mana-mana pemain melakukan rejaman, tampanan dan servis bagi acara campuran ini. Hanya pertukaran pemain dihadkan kepada sesama jantina," katanya ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai di sini, sempena Sukan SEA ke-31.

Abdul Halim bagaimanapun berkata badan induk sepak takraw antarabangsa itu membuat sedikit pindaan pada peraturan permainan berhubung peralatan digunakan bagi acara baharu berkenaan.

"Bola sepak takraw dalam acara ini mestilah digunakan bagi kategori wanita iaitu 160 gram namun paras ketinggian jaring yang direntang ialah seperti kategori lelaki, 1.55 meter di tiang dan 1.52 meter di tengah," katanya.

Abdul Halim berkata ISTAF juga memutuskan untuk memperkenalkan acara baharu campuran dalam kuadran (berempat) pada saingan Piala Raja Thai itu dengan dua pemain lelaki dan dua pemain wanita di dalam gelanggang manakala dua simpanan perlu terdiri daripada kedua-dua jantina.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkata setiap negara hanya layak menyertai satu daripada antara regu campuran atau kuadran campuran yang dipertandingkan pada Piala Raja Thailand itu.

Sementara itu, beliau berkata regu berpasukan campuran sepak takraw akan membuat penampilan sulung pada Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam di Bangkok dan Chonburi dari 17 hingga 26 November tahun depan.

- BERNAMA

Berita Harian X